
Katanya, langkah itu seolah-olah mahu menjadikan Wilayah Persekutuan (WP) seperti kawasan Parlimen Ketereh, Kelantan, yang diwakli menteri itu, dengan membenarkan peniaga bebas berniaga di mana-mana.
“Saya nak mula ucapan saya dengan respons terhadap menteri Wilayah yang mana beliau semalam keluarkan kenyataan menyatakan penduduk di KL, Labuan dan Putrajaya boleh menjadi penjaja di mana-mana tempat di ketiga-tiga wilayah itu.
“Saya agak hairan dengan kenyatan dibuat oleh menteri ini kerana beliau seolah-olah nak jadikan Wilayah Persekutuan (seperti) kawasan Parlimen Ketereh di Kelantan yang mana semua orang boleh buka stor, buka meja jual apa apa-apa pun di mana-mana tempat.
“Kenyataan begini agak bahaya kerana ia membuka ‘floodtgate’ yang menggalak ramai orang di Kuala Lumpur, Putrajaya melanggar undang-undang dan peraturan kerajaan tempatan (PBT),” katanya di Dewan Rakyat sebelum membahaskan Belanjawan 2021 hari ini.
Shahidan Kassim (BN-Arau) bangkit mencelah dengan berkata, langkah Kementerian Wilayah Persekutuan itu mengambil kira keadaan rakyat sedang susah dan hilang pendapatan akibat wabak Covid-19.
“Dalam keadaan kesusahan sebegini, apakah pilihan kita untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Teresa kemudian meminta Shahidan turut menjadi penjaja jalanan di Jalan Parlimen.
“Arau mahu buka gerai jadi penjaja, boleh buat di Jalan Parlimen sekarang menteri Wilayah setuju.
“Esok kita boleh lihat Arau buka gerai nasi lemak di Jalan Parlimen, kita semua tolong beli nasi lemak daripada Arau,” katanya.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya bermula Ahad ini.
Annuar sebelum ini dilaporkan berkata, peniaga bagaimanapun perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama 6 bulan di laman web DBKL yang ditawarkan secara percuma.
“Mulai Ahad 15 November ini, Kuala Lumpur akan menjadi ‘wilayah bebas berniaga’… sesiapa yang ingin berniaga tidak kira sepenuh masa atau separuh masa boleh memilih tempat yang sesuai, misalnya depan rumah atau di tepi jalan kawasan perumahan.
“Permohonan lesen itu bertujuan untuk makluman dan rekod data DBKL sahaja. Pemohon akan mendapat lesen sementara secara automatik dan kemudian DBKL akan membuat pemantauan,” katanya.
Annuar berkata, beliau juga mengadakan perbincangan dengan majlis perwakilan penduduk di ibu negara mengenai perkara itu agar pihak berkenaan memberi kerjasama dengan melakukan pemantauan di peringkat komuniti.