
Cuma destinasi beliau bukan lagi lapangan terbang seperti kelaziman sejak 20 tahun lalu. Covid-19 memaksa beliau menukar haluan ke Subang Jaya untuk mengendalikan gerai rojak dan mi bagi mencari sumber pencarian baharu.
Azrin, 44, antara ribuan kakitangan Malindo yang diberhentikan kerja setelah industri syarikat penerbangan di seluruh dunia terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Saya memerlukan pendapatan kerana diberhentikan kerja,” kata Azrin setelah beliau antara kakitangan Malindo yang terjejas susulan keputusan syarikat itu mengurangkan jumlah kakitangannya.
Hilang mata pencarian, ayah kepada 4 anak ini mengambil keputusan berniaga makanan seperti mi kari menggunakan resipi keluarga, laksa, dan rojak.
Gerai Azin mencari tumpuan orang ramai setelah gambar beliau berniaga dengan memakai pakaian seragam juruterbangnya beserta apron merah tular di sosial media.
Bagi pengunjung gerai “Kapten Corner” milik Azrin, nama premis itu bukan gimik semata-mata.
“Perkara pokok ialah hidangan mesti sedap. Saya sudah 2 kali makan di sini . Kali pertama saya bawa isteri saya dan sekarang saya datang dengan kawan-kawan,” kata pelanggan Azman Yunus.
Seorang lagi pelanggan, Syed Khadzil, turut memuji Azrin atas kejayaannya mencari cara kreatif untuk berniaga makanan.
“Cara beliau menguruskan perniagaannya unik. Beliau memikirkan cara kreatif untuk menarik pelanggan dengan memakai pakaian seragam juruterbang. Ia sudah tentu akan menarik pengunjung,” kata beliau.
Azrin berharap pengalamannya meraih sumber pendapatan baharu menjadi iktibar untuk mereka yang kehilangan mata pencarian kerana Covid-19 dan memerlukan mata pencarian baharu.
“Setiasa perlu berani menghadapi dugaan dan tidak putus asa… hidup ibarat membawa pesawat, kita mesti sentiasa maju ke depan,” kata Azrin.