Pencemaran bau di Sungai Selangor disyaki sabotaj, kata exco alam sekitar

Pencemaran bau di Sungai Selangor disyaki sabotaj, kata exco alam sekitar

Hee berkata siasatan awal pihaknya mendapati pencemaran bau dipercayai cecair pelarut itu dikesan berpunca dari loji Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang.

Hee Loy Sian berkata pihaknya akan membuat laporan polis mengenai insiden pencemaran bau Sungai Selangor dalam masa terdekat. (Gambar Facebook LUAS)
SHAH ALAM:
Pencemaran bau yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas tengah hari tadi disyaki berpunca daripada perbuatan sabotaj.
Hee Loy Sian.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata siasatan awal pihaknya mendapati pencemaran bau dipercayai cecair pelarut itu dikesan berpunca dari loji Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang.

“Tempat ini (Taman Velox) yang kita kenal pasti (bermulanya punca pencemaran bau). Saya akan pergi meninjau lokasi itu kerana dikesan berlaku pembuangan cecair pelarut, sama ada ke dalam lurang atau terus di loji IWK di situ,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Bajet Peruntukan Pembangunan Selangor 2021 pada sidang dewan undangan negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan) mencelah sesi penggulungan berkenaan dengan mempersoal mengenai insiden pencemaran bau itu, yang berlaku dalam tempoh 24 jam selepas pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 diluluskan sidang DUN semalam.

Wong turut lantang mempersoal waktu berlaku pencemaran itu dengan mengatakan ia berkemungkinan terjadi pada awal pagi tadi.

Mengulas lanjut, Hee berkata pemeriksaan LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mendapati tiada pencemaran bau dikesan di Sungai Gong dan Sungai Sembah pada pukul 2.00 hingga 7.00 pagi tadi.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan sabotaj yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu berlaku antara pukul 7.00 hingga 10 pagi sebelum 4 LRA berkenaan ditutup sekitar pukul 12.45 tengah hari.

Beliau berkata pihaknya akan membuat laporan polis mengenai insiden pencemaran bau itu dalam masa terdekat.

Henti tugas LRA SSP 1, 2, 3 dan Rantau Panjang akibat pencemaran bau itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual mulai pukul 6.00 petang ini melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.