Indah Water nafi terlibat pencemaran Sungai Selangor

Indah Water nafi terlibat pencemaran Sungai Selangor

Syarikat itu menghentikan pembebasan efluen sejak 4 November berikutan mengesan sisa buangan haram dalam sistem pembetungan.

IWK sudah membuat laporan polis mengenai pencemaran itu dan pihak berkuasa sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar.
KUALA LUMPUR:
Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menafikan dakwaan pihaknya terlibat dalam pencemaran bau di Sungai Selangor dan memaklumkan ia berpunca daripada pembuangan sisa secara haram oleh pihak ke-3.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam berkata, syarikat itu menghentikan pembebasan efluen sejak 4 November berikutan mengesan sisa buangan haram dalam sistem pembetungan.

“Loji rawatan kumbahan (STP) yang terjejas perlu menampung pengaliran dalam beberapa hari lalu untuk mengelakkan tumpahan ke dalam saluran air.

“Jika ia tidak dilakukan segera, unsur tidak sah yang memasuki loji kami akan menyebabkan kerosakan lebih teruk terhadap persekitaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Narendan berkata, IWK segera memaklumkan pihak berkuasa mengenai pencemaran itu dan menjalankan rawatan untuk meneutralkannya.

“Kami sudah membuat laporan polis mengenai perkara ini dan ia sedang disiasat pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca sebenar pencemaran.”

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi lain mendapati pencemaran bau dipercayai cecair pelarut itu dikesan berpunca dari loji IWK di Taman Velox, Rawang.

Beliau mengesyaki ia adalah tindakan sabotaj kerana berlaku 24 jam selepas DUN meluluskan pindaan ke atas enakmen LUAS bagi memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pencemar sungai, termasuk denda maksimum RM1 juta dan hukuman penjara mandatori.

Terdahulu, Air Selangor berkata LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang perlu dihentikan tugas berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor pada 12.45 tengah hari tadi.

Pencemaran bau itu masing-masing mencatatkan bacaan 4 TON (ukuran kadar bau) dan 8 TON.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.