
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata, siasatan kes itu masih diteruskan dan disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Pengadu seorang lelaki melaporkan pada 9 November lalu, jam 6.50 petang sewaktu berada di rumah di Kampung Dato Ahmad Razali, Dengkil, Selangor, melihat 1 Twitter yang menunjukkan seorang Adun yang dikenali di Twitter dan Instagram dengan nama Young Syefura atau nama sebenarnya Young Syefura Othman.
“(Young) memuatnaik gambar beliau dan rakan-rakannya sedang berkelah di tepi pantai di Bagan Lalang beramai-ramai tanpa mematuhi SOP PKPB.
“Pengadu terus melihat Instagram Young Syefura dan melihat ada 9 keping gambar yang baru sahaja dimuat naik di lokasi berhampiran Avani Sepang Goldcoast Resort yang pengadu percaya di pantai Bagan Lalang,” katanya.
Fadzil berkata, menurut pengadu Selangor ketika itu dalam PKPB, yang mana aktiviti tersebut tidak dibenarkan.
“Pengadu juga mengatakan kejadian melibatkan ahli politik ini bukan kali pertama dan ia berulang sehingga rakyat marah kerana tiada apa-apa tindakan diambil kepada ahli politik, sedangkan apabila rakyat biasa melanggar SOP tindakan serta-merta diambil kepada mereka,” katanya.
Semalam, Young memohon maaf selepas netizen menuduhnya melanggar SOP PKPB yang kini berkuat kuasa di Selangor.
Katanya, walaupun dia Adun di Pahang tetapi bermastautin di Selangor.
Ia berlaku selepas Young menyiarkan foto di Instagram memaparkan dirinya dan 4 yang lain berkelah di pantai di Avani Sepang Goldcoast Resort, di Sungai Pelek, Selangor.
Beri keterangan
Sementara itu, Young memaklumkan beliau sudah memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sepang hari ini ditemani peguamnya, Syahredzan Johan.
“Saya memberi kerjasama penuh kepada polis. Saya menyerahkan sepenuhnya kepada polis dan pendakwa raya dalam menentukan tindakan akan diambil terhadap saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, apa saja tindakan akan diambil adalah adil dan saksama tanpa layanan berbeza walaupun beliau wakil rakyat.
“Saya kesal dan sekali lagi memohon maaf atas apa yang berlaku,” katanya.