Pulau Pinang mahu PKPDB dilaksana di kawasan terjejas kluster Intan

Pulau Pinang mahu PKPDB dilaksana di kawasan terjejas kluster Intan

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kluster Intan dengan majoriti pesakitnya berada di Mukim 13 harus diletakkan di bawah PKPDB.

Jabatan Kesihatan Negeri mencadangkan PKPDB ke atas Penjara Pulau Pinang dan Seberang Perai masing-masing tidak dilanjut melampaui 11 Nov dan 18 Nov. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa kesihatan supaya menimbang untuk mengenakan perintah kawalan pergerakan bersasar ke atas kawasan yang terjejas dengan kluster Intan Covid-19.

Kluster Intan diumumkan pada 5 Nov dengan 9 kes positif dan kes indeksnya merupakan seorang warga asing berumur 30 tahun di Relau berhampiran Bayan Baru, yang disahkanpositif sebelum meninggalkan negara ini.

Dalam kenyataan, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kluster berkenaan dengan majoriti pesakitnya berada di Mukim 13 harus diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB).

“Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) diminta meneruskan pemantauan dan mempertimbangkan sama ada PKPDB perlu dilaksanakan memfokuskan lokaliti-lokaliti khas berkaitan,” katanya.

Mukim 13 yang terletak di daerah Timur Laut meliputi kawasan seluas 3,280 hektar, dengan bilangan penduduk sekitar 271,000.

Ia terdiri daripada Bandar Baru Air Itam, Paya Terubong, Relau, Bukit Jambul Complex, Lip Sin Garden, Bayan Mutiara, Taman Bukit Gambir, Sungai Dua, Batu Uban, Kampung Sg Gelugor, Pulau Jerejak dan sebahagian daripada Universiti Sains Malaysia.

Setakat petang semalam, terdapat 347 kes aktif di Pulau Pinang, dengan 18 kes baru menjadikan jumlah kes sebanyak 1,360. Tiga kes kematian dilaporkan setakat ini.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri, terdapat 7 kluster aktif di negeri itu, iaitu kluster Penjara Reman Pulau Pinang, Penjara Seberang Perai, Bayan, Tembaga, Permatang, Alma dan Intan. Terdapat 41 kes aktif melibatkan kluster terbabit pada masa ini.

Chow berkata, JKNPP juga mencadangkan supaya pelaksanaan PKPDB di Penjara Pulau Pinang dan Seberang Perai masing-masing tidak dilanjutkan melampaui 11 Nov dan 18 Nov.

“Majlis Keselamatan Negeri Pulau Pinang (MKNPP) menerima permohonan JKNPP supaya mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pusat berhubung operasi pusat jagaan harian swasta untuk keperluan ibu bapa yang perlu bekerja dalam tempoh PKPB,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.