
Katanya, pertambahan jumlah penerima yang layak adalah susulan keputusan kerajaan negeri yang meluaskan bantuan berkenaan kepada mereka yang termasuk dalam senarai program e-Kasih.
“Sebelum ini, sasaran kita adalah mereka yang berada dalam PKPD (kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan) dan keluarga yang menjalani kuarantin di dalam kawasan PKPB (perintah kawalan pergerakan bersyarat).
“Bagaimanapun kerajaan membuat keputusan untuk turut mengagihkan bakul makanan kepada mereka dalam senarai e-Kasih. Jadi penerimanya semakin bertambah.
“Antara cabaran yang kita hadapi ialah ketika mengagihkan bakul makanan di kawasan berisiko, selain petugas yang kepenatan, kita juga kekurangan tenaga kerja,” katanya ketika ditemui media selepas mengagihkan bantuan makanan berzat kepada penerima yang layak di Kampung Pasir Putih di sini, hari ini.
Shahelmey berkata, pihaknya juga akan menimbangkan penglibatan sukarelawan bagi membantu pengagihan bakul makanan, khususnya di kawasan yang kurang berisiko wabak Covid-19.
Katanya, sebelum ini petugas yang terlibat dengan pengagihan makanan terdiri daripada mereka yang terlatih, termasuk anggota Rela, polis, kakitangan Majlis Daerah dan Persatuan Bulan Sabit Merah.
“Apabila bantuan ini dibuka kepada mereka yang ada dalam senarai e-Kasih, kumpulan ini boleh dikatakan berisiko rendah (penularan wabak Covid-19), jadi sukarelawan mungkin boleh dilibatkan dengan syarat mematuhi SOP (prosedur operasi standard),” katanya.
Terdahulu Shaelmey berkata, program bantuan makanan berzat yang diadakan adalah hasil kerjasama kerajaan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan ia mula dilaksanakan di 9 daerah di negeri itu, setakat ini.
Katanya, bantuan berkenaan disasarkan kepada kanak-kanak daripada keluarga golongan B40 serta kanak-kanak kurang upaya.