
Presiden PKR itu berkata, pandangan ahli Parlimen pembangkang dalam pertemuan dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz sebelum ini tidak diendahkan, termasuk moratorium pinjaman dan peruntukan bagi mencegah Covid-19.
“Belanjawan 2021 ini mesti ada ketelusan, saya harap dapat teliti semula belanjawan. Bagi saya ia adalah belanjawan yang mengelirukan, walaupun ditekankan berulang kali mengenai Covid-19, jangan lupa Kumpulan Wang Covid-19 masih merupakan jumlah kecil daripada jumlah keseluruhan.
“Ini saya tidak faham betul, mana boleh peruntukan Kementerian Kesihatan disorok bawah peruntukan pembangunan dalam Belanjawan 2021? Peruntukan ini harus diberikan penjelasan sebab utamanya mungkin hendak tunjukkan tidak ada defisit bertambah,” katanya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Justeru, beliau meramalkan Belanjawan 2021 akan menempuhi laluan sukar untuk memperolehi sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut berkata, Zafrul tidak boleh melakukan penipuan dalam bentuk angka.
Baginya, ada beberapa isu yang cuba disorok, namun selepas didesak ahli Parlimen pembangkang, barulah ia dijelaskan lebih lanjut.
“Saya tidak mahu ada andaian yang mudah, kerajaan sekarang ini berbeza dan belum ada kepastikan, kalau ia (Belanjawan 2021) tidak dipinda, belum pasti belanjawan ini boleh diluluskan dengan cara yang mudah. Harus ada kesungguhan untuk nyatakan perkara yang benar,” katanya.
Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan mengenai keluk V dalam unjuran perkembangan ekonomi pada tahun hadapan, Anwar berkata mustahil cukai korporat hanya mengalami penyusutan sebanyak RM4 bilion sahaja, sedangkan situasi yang dihadapi kini berbeza.
“Saya kena jelaskan, bahawa bukan sahaja dari andaian atau unjuran yang dibuat, tetapi unjuran cukai korporat kita sebelum Covid-19 adalah RM63.8 bilion dan cukai korporat pada 2020 adalah RM59.4 bilion.
“Dengan kelemahan sektor industri dan kekurangan pendapatan, penutupan syarikat dan pembuangan pekerja, mustahil penyusutan hanya RM4 bilion. Ia sangat tidak munasabah, sedangkan ketika ini ekonomi kita sedang merangkak. Bagi saya, ini tidak munasabah dan ia angka main-main,” katanya.