
Beliau berkata, laporan awal siasatan perlu disediakan dalam masa 30 hari dari tarikh kejadian nahas udara itu.
Katanya, tujuan siasatan untuk menentukan keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan menyelamatkan nyawa dan mengelakkan berlaku insiden sama pada masa depan.
“Pasukan penyiasat tersebut akan mengeluarkan laporan penuh berhubung hasil siasatan termasuk syor penambahbaikan bagi keselamatan penerbangan awam selepas keseluruhan siasatan selesai.
“Dapatan daripada hasil laporan tersebut akan digunakan oleh kerajaan sebagai asas untuk mengemukakan syor penambahbaikan secara holistik terhadap industri penerbangan awam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu 2 individu maut selepas 2 helikopter bertembung dan terhempas di Taman Melawati.
Wee berkara, siasatan dijalankan pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara itu tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti mana-mana pihak.
Pada masa sama, beliau turut menjelaskan kedua-dua helikopter itu dilaporkan bertembung sesama sendiri di udara yang mana sebuah terhempas dan sebuah lagi berjaya melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan SJKT Taman Melawati.
“Dua helikopter ini yang sedang melakukan latihan penerbangan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, bersama 4 kru.
“Kedua-dua helikopter ini dilaporkan bertembung sesama sendiri di udara di mana 1 helikopter terhempas dan 1 lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan SJKT Taman Melawati,” katanya.