
Shaun Cheah, pengarah eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) berkata, kerajaan juga sepatutnya memastikan belanjawan itu berasaskan rakyat dan mampan.
“Pendirian kita pengagihan bantuan kepada rakyat memang membantu, tetapi ia tidak mampan dalam jangka panjang. Lebih perlu ialah memastikan perniagaan bertahan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, persekitaran perniagaan sepatutnya kondusif kepada sektor PKS supaya ia dapat memulihkan semula ekonomi dan hasilnya mencipta pekerjaan.

Katanya, MICCI tidak melihat insentif sebenar kepada perniagaan, terutama PKS yang merupakan enjin pemulihan ekonomi.
Bagaimanapun pengarah eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, kerajaan sudah melakukan apa yang ia mampu.
Katanya, walaupun ekonomi bergerak perlahan, kerajaan akan melanjutkan skim subsidi upah selama 3 bulan dan memperluaskannya kepada syarikat yang mempunyai 500 orang pekerja.
Skim itu sebelum ini diberikan kepada syarikat yang mempunyai 200 pekerja.

Shamsuddin berkata, pengurangan caruman KWSP pekerja dari 11% ke 9% akan memberikan lebih banyak wang tunai kepada pekerja, sekali gus menambah aliran tunai ke dalam pasaran tempatan.
Langkah lain yang disambut baik oleh MEF ialah pengecualian cukai pendapatan lebih tinggi bagi mereka yang hilang pekerjaan serta latihan semula dan peningkatan kemahiran pekerja.
Beliau turut memuji langkah kerajaan mewujudkan pusat asuhan kanak-kanak untuk ibu bapa B40 bagi memastikan kedua ibu bapa boleh terus bekerja, serta penubuhan majlis pekerjaan untuk meneliti isu pekerjaan.