
Kedua-duanya berkata demikian dalam webinar hari ini, menyatakan kerajaan perlu menggunakan beberapa minggu akan datang hingga 25 November, ketika undian dibuat, untuk mengumpul maklum balas semua pihak dan bersedia untuk mengubah ramalan asas dalam belanjawan itu.
Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Ong Kian Ming berkata “bahaya” bagi Putrajaya untuk menganggap keadaan kembali normal tahun depan, susulan gelombang ke-3 jangkitan Covid-19.
“Kita sudah lihat gelombang baru (kes Covid-19) di Eropah dan Amerika Syarikat (AS), Covid tak ikut kalendar dan hanya kerana ia akan dilaksanakan tahun depan, ini tidak bermaksud ia akan berehat.
“Belanjawan itu nampaknya dibuat seolah perniagaan kembali seperti biasa,” katanya dalam webinar dianjurkan oleh Research for Social Advancement (Refsa), sambil menambah walaupun vaksin digunakan, ia hanya dijangka boleh diguna besar-besaran hujung tahun depan.
Sementara itu, senator DAP Liew Chin Tong, yang juga bekas timbalan menteri, memberi amaran pentadbiran Perikatan Nasional (PN) mungkin tidak dapat memastikan belanjawan itu lulus melainkan jika ia bersedia untuk mengkaji semula jangkaan tidak realistik itu, yang ekonomi boleh berkembang 6.5% hingga 7.5% tahun depan.
“Mereka harus bersedia untuk menggunakan beberapa minggu akan datang hingga 25 November, apabila undian dibuat, untuk berbincang dengan semua pihak dan bersedia mengubah asas andaian dalam belanjawan itu.
“Kerajaan perlu memikirkan angka lebih realistik dan bersedia menanggung defisit lebih besar untuk mencipta pekerjaan dan menangani krisis kesihatan di seluruh bidang, bukan hanya untuk Covid-19.”
Ong berkata, kerajaan seharusnya memberikan lebih banyak perlindungan sosial kepada golongan lebih mudah terdedah, terutama mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik.
Katanya, ia dapat dibuat dengan menyalurkan lebih banyak sumber ke dalam Skim Insurans Pekerja (SIP) dan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk menggalakkan lebih banyak penganggur untuk mendaftar.
Ong menambah belanjawan itu juga kurang memberi sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang masih berjuang untuk pulih daripada kesan Covid-19 dan sekatan sebelum ini.
“Keseluruhan ramalan belanjawan ini adalah seperti untuk keadaan akan kembali (normal) tetapi bagi PKS, mereka tidak menjangkakan untuk kembali pulih atau hasil meningkat.
“Mereka benar-benar bimbang jika akan ada perintah kawalan pergerakan (PKP) atau PKP bersyarat di kawasan mereka. Sekiranya ini berlaku tahun depan, mereka mungkin terpaksa tutup kedai.”
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Putrajaya mengkaji semula program subsidi upah, dengan menaikkan gaji bulanan RM600 hingga RM1,500 bagi mereka yang bekerja di kawasan dikenakan PKP.
“Daripada tak perlu bayar cukai, saya rasa PKS lebih suka program subsidi upah yang dipertingkatkan di mana hanya tekanan untuk mereka melepaskan pekerja yang telah bekerja dengan mereka selama bertahun-tahun.”
Beliau turut menyeru menteri lain untuk bertindak dan mencari peluang dalam mencipta pekerjaan di sektor bawah kementerian masing-masing, kerana menteri kewangan seharusnya bukan satu-satunya yang memberi insentif dalam peningkatan pekerjaan.