PKP tidak banyak mengajar tentang kasih pada haiwan

PKP tidak banyak mengajar tentang kasih pada haiwan

Jumlah peliharaan seperti anjing dan kucing dibuang berganda, malah terdapat laporan haiwan dipijak sehingga mati.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika, percaya peningkatan kes mendera haiwan ada kaitan dengan kesan pandemik pada kesihatan mental manusia.
PETALING JAYA:
Kesan pandemik Covid-19 pada ekonomi dan kesihatan mental manusia turut dirasai haiwan di sekeliling seperti kucing dan anjing yang dibuang, bahkan didera, atas pelbagai alasan.

Ketika #kitajagakita mengajar manusia menjaga diri, keluarga dan orang di sekeliling, Persatuan Haiwan Malaysia mendapati semakin banyak haiwan peliharaan dibuang setiap hari, malah berganda sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Sikap bertanggungjawab seolah-olah tidak termasuk kasih pada haiwan yang hidup dalam kalangan kita.

“Saya tidak nampak PKP mengajar manusia erti memahami dan menyantuni hak haiwan,” kata presidennya Arie Dwi Andika kepada FMT.

“Pengajaran daripada Covid-19 ini sepatutnya dilihat dari segi pentingnya kita menjaga kesihatan semua hidupan, tetapi perkara ini tidak berlaku, malah mereka bersikap kejam terhadap haiwan.”

Beliau berkata, tiada kemampuan antara alasan pemilik membuang haiwan peliharaan. “Sanggup buang haiwan kerana merasakan ia beban.”

Namun lebih menyedihkan ada haiwan menjadi mangsa dera. Arie percaya mereka menjadi mangsa tuan melepaskan tekanan pandemik itu.

“Walaupun undang-undang ada, tetapi jika tiada kesedaran, tiada pendidikan, benda ini tidak akan berjaya,” kata Arie, merujuk kepada Akta Kebajikan Haiwan yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 dan penjara tidak lebih 3 tahun, atau kedua-duanya bagi kesalahan penganiayaan atau membunuh haiwan.

“Ia sama seperti kewujudan undang-undang untuk hukum jenayah bunuh. Kalau orang mahu bunuh, dia tetap akan membunuh – maknanya kesedaran itu penting,” katanya.

Ketika kadar pengangguran mencecah 4.7% pada Julai, bersamaan 745,100 orang, media turut melaporkan kejadian seperti sekumpulan wanita memijak-mijak kucing hingga mati atau seorang lelaki menggantung anjing di sebatang pokok.

Beberapa individu juga dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan mendera haiwan, seperti seorang pekerja kontrak yang dipenjarakan dan didenda kerana membunuh kucing bunting dengan memasukkannya dalam mesin pengering pakaian di kedai dobi layan diri.

Arie berkata undang-undang menghukum penganiayaan dan pembunuhan haiwan tidak berkesan jika masyarakat tiada kesedaran.

Arie berkata pusat perlindungan haiwan amat terkekang terutama dari segi kewangan apabila berdepan lambakan haiwan terbiar di jalanan.

“Selain melindungi haiwan jalanan daripada menjadi mangsa kekejaman manusia, pihak ‘shelter’, pencinta haiwan berdepan masalah dana yang terhad untuk mengurus haiwan terbiar,” katanya.

Beliau menasihatkan mana-mana pemilik yang tidak mahu haiwan peliharaan mereka, supaya menyerahkan kepada pusat perlindungan bersekali dengan bayaran kos.

“Jangan pula serah secara percuma kerana ia menambah beban ‘shelter’ itu untuk tanggung kos,” katanya.

Perkasa kesedaran pemandulan haiwan

Dalam pada itu, Arie berharap kerajaan memandang serius lambakan haiwan jalan dan peningkatan kes penderaan haiwan, dengan memperuntukkan dana untuk menyelesaikan isu tersebut menerusi Belanjawan 2021 dan membantu NGO dan pengusaha pusat perlindungan menerusi geran khas.

Beliau juga menggesa kerajaan memperkasakan kesedaran betapa pentingnya pemandulan haiwan bagi menangani masalah lambakan haiwan jalanan.

“Selagi tidak ada usaha mengekang pembiakan tidak terkawal ini, saya kira masalah kebajikan, masalah kezaliman terhadap haiwan sukar diselesaikan.”

Arie amat berharap kali ini isu itu dapat diselesaikan pemerintah sekarang.

“Sebelum ini kita sudah berbuih mulut, bergaduh dengan pihak kerajaan supaya menyelesaikan isu ini dengan alasan tiada peruntukan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.