Kenapa peruntukan Adun perlu kelulusan MB Selangor, soal Adun pembangkang

Kenapa peruntukan Adun perlu kelulusan MB Selangor, soal Adun pembangkang

Haniza mencadangkan kerajaan negeri menyediakan sistem atas talian untuk memohon peruntukan.

Bekas ketua wanita PKR Haniza Talha dipecat daripada parti itu Jun lalu dan kini mewakili PPBM.
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor hari ini dituduh menyulitkan proses permohonan peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang, walaupun sebelum ini berjanji memberi layanan sama rata kepada semua Adun di negeri itu.

Haniza Talha (PPBM-Lembah Jaya) menyatakan permohonan peruntukan biasanya dikemukakan terus kepada pejabat daerah tanah masing-masing.

“Saya menerima notis pada bulan lalu yang mengatakan Adun pembangkang dan bebas harus mengemukakan permohonan pengeluaran peruntukan sekurang-kurangnya 10 haribulan setiap bulan kerana ia akan diselaraskan oleh pejabat menteri besar sehingga notis selanjutnya.

“Notis itu juga menyatakan sekiranya permohonan dibuat dengan lewat, proses itu (pengeluaran peruntukan) akan ditangguhkan. Saya ingin mendapat penjelasan daripada kerajaan negeri,” katanya semasa membahaskan belanjawan 2021 di sidang dewan undangan negeri.

Dalam responnya, Menteri Besar Amirudin Shari (PH-Sungai Tua) berkata proses baru itu dilaksanakan kerana pentadbiran negeri disusun semula susulan PPBM keluar daripada Pakatan Harapan (PH) awal tahun ini.

“Kami mempunyai Warisan Plus dan PH Plus tetapi saya tidak tahu bagaimana nak memanggilnya. Kami mempunyai Adun bebas yang sebelumnya daripada PPBM tetapi menyokong kami dan juga Adun pembangkang.

“Kami mengemukakan 3 kriteria, iaitu Adun PH, Adun bebas yang pro PH dan pihak pembangkang. Kami akan mengikuti pengakuan bertulis dan menyokong kerajaan negeri,” katanya.

Haniza mencadangkan kerajaan negeri mendirikan sistem atas talian untuk Adun Selangor mengemukakan permohonan peruntukan, sebagaimana dilaksanakan oleh Putrajaya untuk ahli parlimen.

“Dengan (sistem) itu, kami akan dapat jawapan dalam 2 hari,” katanya . Amirudin bersetuju menimbang cadangan berkenaan.

Haniza sebelum ini bekas ketua wanita PKR sehingga dipecat parti itu Jun lalu. Beliau menubuhkan sebuah NGO bergelar Nation of Women (NOW) untuk ahli PKR yang dipecat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.