
Menteri Besar Hasni Mohammad, dalam kenyataan menegaskan, ia “demi merancakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan, memudahkan mobiliti pekerja di samping meningkatkan kualiti ekosistem pelaburan di Johor”.
Sebelum ini, Johor memberi amaran lebih RM40 bilion cukai kastam yang dipungut di pintu masuk Malaysia-Singapura akan terjejas sekiranya penutupan sempadan berterusan, mengingatkan Putrajaya 50% daripada cukai kastam dipungut di Tambak Johor dan Linkedua.
Ia juga memberi kesan pada ekonomi negeri dan pada rakyat yang tidak bekerja di Singapura.
Pada masa sama, kerajaan negeri juga menyambut baik projek prasarana yang diteruskan seperti Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Woodlands, dan perbincangan lanjut dengan Singapura berkenaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).
“Projek-projek infrastruktur ini amat penting bagi memudahkan pergerakan rakyat Johor, merangsang pembangunan kawasan baharu, dan melonjakkan potensi negeri Johor sebagai destinasi pelaburan serantau yang kompetitif,” katanya.
Sempadan Malaysia-Singapura ditutup sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu, bagi mengekang penularan Covid-19.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, pembukaan sempadan sepenuhnya bergantung kepada situasi semasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) hingga Disember ini.