Serap Prihatin, Penjana dalam belanjawan, kata pakar ekonomi

Serap Prihatin, Penjana dalam belanjawan, kata pakar ekonomi

Selain perlu fokus kepada isu pekerjaan Putrajaya disaran menumpukan aliran tunai yang baik bagi IKS dan membantu rakyat yang kehilangan pendapatan.

Pakar ekonomi berkata Belanjawan 2021 masih merupakan belanjawan bersifat defisit, yang lebih memfokuskan untuk pemulihan ekonomi. (Gambar Bank Islam)
PETALING JAYA:
Pakar ekonomi meramalkan Belanjawan 2021 akan meneruskan kesinambungan pakej dan pelan diperkenalkan Putrajaya sebelum ini memandangkan negara masih dalam fasa pemulihan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun ini.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid percaya, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) akan terus diberi perhatian memandangkan masih terdapat kelompok tertentu tidak menerima manfaat itu sepenuhnya.

“Tema sama akan digunakan dalam Belanjawan 2021, masih berkisar mengenai Covid-19 kerana kita tidak pasti bila penghujung wabak ini. Apa yang kerajaan umumkan sebelum ini sebenarnya sudah betul seperti pemberian subsidi upah, bantuan Prihatin dan sebagainya.

“Ketika ini, tempoh bagi pakej dan pelan itu masih ada had iaitu hingga hujung tahun tetapi saya berpandangan ini perlu disambung lagi hingga tahun depan memandangkan ekonomi kita masih tidak berapa bagus dan masih memberi kesan kepada rakyat,” kataya kepada FMT.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Cukai) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Mohd Nizom Sairi berkata, kutipan cukai disasarkan agensi itu dijangka kira-kira RM100 bilion, lebih rendah berbanding sasaran ditetapkan sebelum ini menerusi Kementerian Kewangan iaitu RM154 bilion.

Jabatan Perangkaan Malaysia pada Ogos memaklumkan KDNK Malaysia menyusut 17.1% daripada pertumbuhan marginal 0.7% pada suku pertama 2020. Malah, prestasi suku tahun ini merupakan pertumbuhan KDNK terendah direkodkan sejak suku tahun ke-4 1998 (-11.2%).

Afzanizam berkata, selain perlu memfokuskan kepada isu pekerjaan, aliran tunai yang baik untuk industri kecil dan sederhana (IKS) serta membantu rakyat yang kehilangan pendapatan ketika ini, Putrajaya juga disaran tidak memfokuskan kepada isu cukai atau hasil pendapatan negara.

“Secara umumnya KDNK dan kutipan cukai bergerak seiring tetapi kalau Putrajaya maklumkan hendak dapatkan cukai lebih banyak dalam keadaan ekonomi semasa ini, ia memang tidak realistik. Dalam tempoh terdekat ini, defisit fiskal memang dijangka lebih melebar.

“Namun, apa yang berlaku perlu dilihat kepada momentum pertumbuhan ekonomi, kalau masih lemah saya jangka susah untuk hutang kerajaan dikurangkan kerana peranan kerajaan persekutuan ketika ini perlu lebih aktif, iaitu kena banyak berbelanja,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Belanjawan 2021 masih merupakan belanjawan bersifat defisit, yang lebih memfokuskan untuk pemulihan ekonomi.

“Boleh dikatakan Belanjawan 2021 ini merupakan belanjawan paling kritikal. Ia merupakan inisiatif kerajaan untuk memulihkan ekonomi. Namun, cabaran paling utama untuk Belanjawan 2021 ini sudah tentu sumber pendapatan yang terjejas,” katanya.

Ahmed Razman berkata, Putrajaya juga tidak sewajarnya terus mengharapkan hasil daripada sumber minyak negara, sebaliknya terus berusaha mencari pendapatan baru untuk negara atau mempunyai pilihan memperkenalkan cukai baru.

“Selain hasil minyak, 1 lagi sumber pendapatan adalah menaikkan kadar cukai atau mengenakan cukai baru. Sebelum ini ada juga ura-ura supaya GST diperkenalkan semula, cukai pendapatan individu dan syarikat dinaikkan atau perkenalkan cukai baru seperti cukai harta pusaka.

“Namun, saya percaya perkara ini tidak akan dilaksanakan Putrajaya memandangkan sentimen rakyat perlu dinilai, sudah tentu mereka tidak akan suka dalam keadaan sebegini, masih dikenakan cukai baru. Kerajaan sebaliknya boleh menjana pendapatan menerusi ekonomi digital,” katanya.

Beliau turut mencadangkan Putrajaya terus memperkenalkan program bersifat keusahawanan, membantu dalam pemberian geran dan modal perniagaan. Bukannya bantuan bersifat sementara seperti pelaksanaan program bantuan sara hidup.

“Itu yang kita dapat tengok dalam Penjana, memberikan pinjaman untuk peniaga ini kekal dalam perniagaan, memastikan kadar pengangguran dikurangkan dengan cara majikan dapat menggajikan pekerja supaya mereka tidak diberhentikan kerja,” katanya.

Pembentangan Belanjawan 2021 antara yang mencuri tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat yang kembali bersidang selama 27 hari, mulai 2 November lalu.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 dijadual dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz 4 petang esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.