Lebih ramai tampil bantu penjual nasi lemak Mary

Lebih ramai tampil bantu penjual nasi lemak Mary

Ibu tunggal itu menerima banyak panggilan telefon daripada pelanggan untuk menempah nasi lemak dibuatnya.

Teresa Kok antara individu yang tampil membantu penjual nasi lemak, Nurajahan Mariamah Abdullah yang lebih dikenali sebagai Mary, selepas kisahnya dilaporkan FMT.
PETALING JAYA:
Seorang ibu tunggal yang terpaksa menjual nasi lemak selepas hilang pekerjaan akibat pandemik, berkata ramai yang tampil memberi bantuan kepadanya.

Nurajahan Mariamah Abdullah – yang lebih dikenali sebagai Mary dalam kalangan pelanggannya – berkata perniagaannya meningkat selepas pergelutannya untuk menyara keluarganya dilaporkan FMT.

Mary, yang menjual nasi lemak dari troli, berkata beliau menerima banyak panggilan telefon daripada pelanggan untuk menempah nasi lemak dibuatnya.

“Tambahan, nasi lemak saya habis dijual dengan cepat selepas kisah saya disiarkan,” katanya kepada wartawan di rumahnya ketika Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok melawatnya hari ini.

Mary berkata, seorang individu turut tampil membayar sewa rumahnya sebanyak RM700 sebulan.

Semalam, katanya, Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur dan Putrajaya menghadiahkan satu periuk nasi besar kepadanya untuk menampung peningkatan tempahan.

Sementara itu, Kok membeli barang dapur seperti minyak masak, telur, beras dan gula untuk kegunaan perniagaan Mary.

Katanya, beliau perlu berbuat sesuatu kerana Mary tinggal di kawasan Parlimennya.

“Untuk membantu perniagaan anda, mulai esok, pejabat saya akan membeli 30 bungkus nasi lemak dari anda selama sebulan,” katanya kepada Mary.

Beliau turut menggesa orang ramai membantu golongan memerlukan seperti Mary dengan menyokong perniagaan mereka.

Semalam, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membantu Mary mendapatkan lesen penjaja dan lokasi sesuai untuk gerainya.

Mary, yang bekerja sebagai tukang cuci, hilang pekerjaannya Mac lalu akibat pandemik Covid-19. Sejak itu, beliau menjual nasi lemak dan bihun menggunakan troli di sekitar Taman Desa dari 6.30 pagi hingga 11 pagi.

Beliau kini memperoleh RM80 sehari hasil jualan nasi lemak dan bihun, serta menjual buah-buahan potong di sebuah restoran berdekatan pada waktu petang untuk meraih pendapatan tambahan.

Mary kehilangan suaminya, yang meninggal dunia akibat serangan jantung, 6 tahun lalu dan memikul tanggungjawab menjaga ibunya dan 3 anaknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.