
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian (PH-Selangor) memberitahu Dewan Undangan Negeri hari ini, IWK mengaku bersalah terhadap kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling.
“Mereka didenda sebanyak RM15,000 kerana mencemarkan loji rawatan air Sungai Selangor,” katanya menjawab soalan ketua pembangkang negeri, Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar).
Hee berkata, kerajaan negeri turut memfailkan saman sivil terhadap 2 syarikat di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk mendapatkan kembali kos pembersihan RM205,243 bagi pihak Lembaga Pengurusan Air Selangor.

“Perintah kebankrapan telahpun diperolehi pada 1 Julai 2020 terhadap defendan kerana kegagalan membayar hutang yang dituntut,” katanya.
Sebuah lagi syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kajang pada 2017, tetapi tertuduh melarikan diri dan pertuduhan ditarik balik.
Baru-baru ini, Hee berkata, 2 kes dibawa ke mahkamah berhubung pencemaran Sungai Gong.
Ketika ditanya Dr Idris Ahmad (PH-Ijok) sama ada tindakan lanjut, seperti rampasan tanah akan diambil kerajaan negeri, katanya, ada rancangan untuk merampas tanah dalam satu kes.
Bulan lalu, 4 ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus bengkel sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas 2 pertuduhan membuang sisa yang mengandungi bahan berbahaya tanya lesen sehingga menyebabkan pencemaran. Mereka kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin.
Selasa lalu, 2 beranak yang juga ahli lembaga pengarah sebuah syarikat pembaikan jentera berat didakwa melakukan khianat dengan membuang sisa mengandungi bahan berbahaya ke Sungai Gong di Rawang. Mereka mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan.