
Katanya, terdapat beberapa kes dan kluster yang dikesan berpunca daripada keadaan sedemikian, termasuk di Alor Gajah, Melaka yang dikaitkan kepada kluster Utama.
“Perlu diingatkan, walaupun kita tiada gejala, tetapi 60% hingga 70% kes positif adalah mereka yang tidak menunjukkan gejala.
“Saya nak ingatkan mereka yang berada di zon hijau, pastikan mana-mana individu yang balik dari zon merah supaya tidak mendekati mereka,” katanya pada sidang media hari ini.
Seorang jururawat hospital swasta dari Selangor pulang ke kampung halaman baru-baru ini menyebabkan 4 kes baru Covid-19 di Kelantan, termasuk seorang bayi perempuan berusia 22 hari.
Selain bayi yang merupakan anak saudara jururawat itu, 3 kes lain ialah neneknya yang berusia 75 tahun, ibu serta adiknya.
Difahamkan, wanita itu pulang ke kampung di Kuala Balah, Jeli bersama seorang rakan bulan lalu, sebelum kembali ke Selangor dan disahkan positif Covid-19.
SOP di Parlimen
Hisham berkata, SOP untuk sidang Dewan Rakyat diperketatkan untuk memastikan Parlimen bebas daripada penularan Covid-19 dan sidang boleh diteruskan.
Ditanya jika langkah yang dilaksanakan sebelum ini tidak berkesan, katanya, kerajaan sentiasa mengkaji untuk memperbaiki SOP yang ditetapkan.
Beliau berkata, kebimbangan pihaknya ialah ahli Parlimen datang dari pelbagai tempat di seluruh negara dan mungkin terdedah kepada jangkitan apabila berhimpun di Parlimen.
“Sekarang kita ada 222 ahli Parlimen, contoh jika seorang wakil rakyat ada seorang pembantu, ini menjadikan jumlah 400 lebih, ditambah lagi petugas di Parlimen, ia membabitkan kelompok yang besar.”
Katanya, walaupun ahli Parlimen diwajibkan menjalani ujian saringan 3 hari sebelum sidang Parlimen bermula, mereka masih terdedah kepada komuniti lain yang bergejala.
“Jadi, kita syorkan mereka jalani ujian setiap 2 minggu bagi memastikan mereka bebas jangkitan Covid-19 dan saringan ini akan diperluaskan kepada pegawai kementerian lain yang perlu bertugas di luar kawasan.
“Ini bagi memastikan mana-mana individu yang masuk ke Parlimen bebas daripada jangkitan Covid-19.”
Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata hanya 80 ahli Parlimen dibenarkan memasuki dewan mulai esok, dengan waktu persidangan dipendekkan dari 10 pagi hingga 2 petang minggu depan untuk menyekat penyebaran Covid-19 di Parlimen.
Hanya 41 daripada 80 kerusi akan diwakili ahli Parlimen Perikatan Nasional dan 39 kerusi lagi untuk pembangkang dan bebas.