Cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih dalam penelitian

Cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih dalam penelitian

Hee Loy Sian berkata Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menerima lebih 45,000 bantahan awam mengenai cadangan pemansuhan pewartaan hutan simpan berkenaan setakat ini.

Orang Asli bantah cadangan menyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara di Selangor. (Gamber Bernama)
SHAH ALAM:
Status terkini Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang dicadang untuk dimansuhkan pewartaannya, masih sedang melalui proses penyiasatan awam, kata Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian.

Beliau berkata laporan penyiasatan awam itu juga sedang disiapkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk golongan Orang Asli di kawasan terlibat dan rakyat tempatan.

“Cadangan memansuhkan pewartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara sedang dalam proses penyiasatan awam yang mana bantahan secara bertulis telah diterima oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor selama 30 hari bermula 5 Feb hingga 7 Mac lepas.

“Seterusnya, satu sesi ‘dialog awam’ telah diadakan pada 28 dan 29 Sept lepas bagi beri peluang kepada kerajaan negeri mendengar dan mengumpulkan pandangan serta bantahan secara lisan mengenai cadangan pemansuhan pewartaan berkenaan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lau Weng San (PH-Banting) yang bertanya mengenai status dan perkembangan terkini cadangan memansuhkan pewartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Hee berkata buat masa ini, tiada tarikh tertentu ditetapkan untuk memuktamadkan cadangan pemansuhan pewartaan hutan simpan itu memandangkan kerajaan negeri masih menunggu laporan penuh penyiasatan awam yang perlu mengambil kira padangan semua pihak terlebih dahulu daripada jabatan terlibat.

Katanya Jabatan Perhutanan Negeri Selangor juga menerima lebih 45,000 bantahan awam mengenai cadangan pemansuhan pewartaan hutan simpan berkenaan setakat ini.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang) mengenai keluasan sebenar Hutan Simpan Kuala Langat Utara untuk dimansuhkan pewartaannya, Hee berkata 971 hektar (2,400 ekar) kawasan hutan simpan itu dicadang bagi tujuan berkenaan.

Sebelum ini Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengeluarkan notis cadangan bagi memansuhkan pewartaan status hutan simpan itu menerusi ruangan iklan di akhbar tempatan.

Perkara itu telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada badan bukan kerajaan dan orang awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.