
“Selain daripada pampasan yang disediakan oleh majikan,” kata Menteri M Saravanan dalam kenyataan hari ini.
Kakitangan berkenaan juga akan dibantu Perkeso dalam carian pekerjaan melalui portal MYFutureJob.
“Kakitangan Malindo Airways juga layak untuk mengikuti program latihan yang disediakan oleh Perkeso atau Pembangunan Sumber Manusia Berhad, di mana yuran latihan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.
Kenyataan ini sehari selepas Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), dan Perkeso berbincang dengan pengurusan Malindo Airways semalam bagi memastikan hak pekerja yang terjejas susulan pemberhentian pekerja yang dilaporkan baru-baru ini dilindungi dan diberi bantuan sewajarnya.
Menurut Saravanan, Malindo Airways melaksanakan pemberhentian pekerja melibatkan 2,647 orang sejak 1 Nov. Pihak majikan juga menawarkan notis cuti tanpa gaji untuk tempoh 1 tahun kepada 439 kakitangan dengan harapan ekonomi kembali pulih dan mereka akan dipanggil bekerja semula.
Seramai 347 lagi ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), manakala baki 1,861 pekerja diberi notis pemberhentian kerja dengan pampasan minimum mengikut Akta Kerja.
Saravanan berkata 439 kakitangan Malindo Airways yang menerima notis cuti tanpa gaji itu boleh menganggap kontrak perkhidmatan mereka terputus, dan seterusnya mengemukakan tuntutan kehilangan pekerjaan mengikut SIP.
“Supaya mereka mendapat bantuan untuk kelangsungan hidup sementara mendapat pekerjaan baharu,” katanya.
Dalam perbincangan yang diadakan semalam, pihak pengurusan Malindo Airways menyatakan mereka menerima bantuan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) untuk 2 bulan iaitu bagi April dan Mei 2020.
Bayaran ERP untuk April memberi manfaat kepada 2,112 pekerja Malindo Airways yang melibatkan bayaran sebanyak RM1.26 juta, sementara bayaran ERP bagi Mei disampaikan kepada 2,478 pekerja yang membabitkan bayaran RM1.48 juta.
“Semua kakitangan syarikat tersebut yang menerima ERP tidak diberhentikan kerja pada bulan berkenaan. Pihak Malindo Airways juga mengesahkan semua bayaran yang diterima disalurkan kepada semua pekerja yang terlibat.”
Katanya, rekod Perkeso turut menunjukkan Malindo Airways menerima bayaran Program Subsidi Upah (PSU) berjumlah RM240,000.00 bagi Julai dan Ogos 2020 untuk 200 orang pekerja.