
“Kami tidak akan membenarkan kilang yang menyebabkan pencemaran (menyertainya). Tak boleh. Mereka tak boleh menyertai program itu,” kata Ng.
Beliau memberitahu DUN Selangor terdapat 200 kilang plastik haram ditutup oleh kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan tempatan.
Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran Selangor yang pada asalnya berakhir 30 September lalu dilanjutkan hingga 31 Disember ini. Tindakan penguasan turut diberhentikan.
Terdahulu, Ng menjelaskan kilang tanpa kebenaran merupakan kilang yang mempunyai lesen perniagaan sementara tetapi belum memenuhi syarat teknikal seperti status tanah, pengezonan atau kebenaran merancang dan tidak sama sekali melibatkan sebarang aktiviti haram.
Ng berkata, lanjutan tempoh itu dibuat susulan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Terdahulu, beliau berkata kerajaan negeri berpandangan kilang berkenaan wajar diberi peluang untuk memohon lesen.
Dilaporkan terdapat 5,589 kilang haram dikesan beroperasi di seluruh Selangor dengan 869 daripadanya terletak berhampiran sungai. Sebahagian besarnya di hilir sungai atau selepas muka sauk loji rawatan air (LRA).