Lebih fleksibel untuk Parlimen maya, kata penganalisis

Lebih fleksibel untuk Parlimen maya, kata penganalisis

Kamarul Zaman Yusoff dari UUM berkata, Parlimen boleh menentukan prosedurnya sendiri, manakala ahli Parlimen Kuching mengkritik kerajaan tidak bersedia mengadakan perbahasan secara dalam talian.

Semalam, sidang Dewan Rakyat berakhir 1 tengah hari berbanding kebiasaan 5.30 petang kerana Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik menggesa pemimpin kerajaan lebih fleksibel dalam mentafsir Perlembagaan mengenai cara sidang Parlimen perlu diadakan.

Kamarul Zaman Yusoff, pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia berkata, Perlembagaan memberi kuasa kepada Parlimen untuk menentukan prosedurnya sendiri.

Beliau yang menyokong sidang maya Parlimen, berkata Perlembagaan Persekutuan terbuka untuk ditafsir kerana ia hanya menyatakan ahli Parlimen yang tidak hadir tidak dibenarkan mengundi.

“Kita tidak perlu bersikap kaku dalam mentafsir undang-undang dan Perlembagaan.

Kamarul Zaman Yusoff

“Kehadiran juga boleh memberi maksud kehadiran maya. Sekiranya terdapat keraguan mengenainya, maka mereka perlu menyatakannya dengan jelas dalam prosedur terbabit. Ini bukan masalah besar, apatah lagi apabila kebanyakan ahli Parlimen, termasuk pembangkang, kemungkinan besar menyokong sesi secara maya itu.”

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat mengkehendaki ahli Parlimen hadir secara fizikal untuk mengundi rang undang-undang dan belanjawan tahunan.

Sidang Dewan Rakyat semalam bermula 10 pagi, tetapi berakhir 1 tengah hari berbanding kebiasaan 5.30 petang, selepas beberapa kakitangan Dewan Negara disahkan positif Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, masa bersidang akan ditentukan setiap hari.

Kamarul berkata, sidang lebih pendek akan mempengaruhi keberkesanan Dewan Rakyat.

Dr Kelvin Yii.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii kecewa kerana waktu lebih pendek mungkin menyebabkan masa lebih sedikit untuk membahaskan banyak isu atau untuk kerajaan memberi penjelasan.

“Ramai daripada kami dari Malaysia Timur mengembara jauh dan perlu mematuhi SOP lebih ketat supaya kita boleh menunaikan tanggungjawab kita di Parlimen.”

Beliau mengkritik kerajaan tidak bersedia mengadakan sidang maya Parlimen, walaupun mempunyai 3 bulan selepas kali terakhir bersidang.

“Ini hanya menunjukkan sifat tidak berfikir panjang dan tidak bersedia menyesuaikan diri dengan norma baru, malah di Parlimen,” katanya sambil menambah mengehadkan waktu bersidang hanya “merugikan rakyat”.

Dr Subramaniam Muniandy.

Beliau berkata, walaupun undian perlu dilakukan secara fizikal kerana syarat undang-undang, perbahasan masih dapat dilakukan secara dalam talian untuk mengehadkan kontak fizikal di ruang tertutup seperti Dewan Rakyat.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Subramaniam Muniandy berkata, ancaman virus itu akan selalu ada di Dewan Rakyat, tanpa mengira tempoh bersidang.

“Memang betul tempoh (bersidang) lebih pendek bermaksud kurang terdedah, tetapi jika virus sudah ada di kawasan itu, ia tidak mengira masa.”

Beliau menggesa kerajaan “berhenti menyalahkan Covid-19” dan memastikan semua ahli Parlimen mematuhi SOP ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat untuk 6 minggu akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.