
Beliau mengulangi seruan semua pihak perlu bekerjasama untuk merumuskan suatu “belanjawan perpaduan” yang boleh membantu rakyat mengharungi kemelesetan ekonomi ekoran wabak Covid-19.
Lim mengingatkan PH secara jelas menyatakan proses perundingan belanjawan bukanlah menunjukkan sokongan atau penerimaan terhadap keabsahan politik dan moral pentadbiran Perikatan Nasional.
“Sekiranya salah satu daripada 6 langkah utama yang dicadangkan oleh PH ditolak, maka tidak akan ada belanjawan perpaduan yang berkesan untuk memberi manfaat kepada negara, ekonomi negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
PH sebelum ini mengemukakan 6 cadangan dalam pertemuan dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz semalam, di mana pembangkang percaya langkah fiskal itu akan membantu memulihkan ekonomi dengan mencipta pekerjaan dan merangsang perniagaan.
Langkah itu termasuk meningkatkan sumber Kementerian Kesihatan untuk menangani wabak Covid-19 dan penyakit tidak berjangkit (NCD), peruntukan dana khas untuk Sabah, memperluas perlindungan sosial, meningkatkan bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000 dan pelanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman bank sehingga 31 Mac 2021.
Cadangan itu turut menyebut supaya subsidi upah diteruskan sehingga 31 Mac 2021, mewujudkan 600,000 pekerjaan seperti dalam program MalaysiaKerja dan peningkatan perbelanjaan pendidikan.
Selain itu, katanya, pembangunan untuk 2 projek utama, iaitu, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) perlu dibelanjakan dan menaik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang.
Dalam pada itu, Lim turut menyangkal spekulasi mengatakan sokongan untuk “belanjawan perpaduan” itu sama dengan pembentukan kerajaan perpaduan.