
Petugas barisan depan yang tidak mahu dinamakan itu berkata, mereka terpaksa berjimat demi membeli PPE dan kadang-kadang membelinya dalam talian walaupun sedar ia tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kami faham keutamaan diberi kepada zon merah dan kami tidak menyalahkan pihak atasan atau kerajaan.
“Bagaimanapun, kami juga risau kerana kita tidak tahu virus ini berada di mana, lebih-lebih lagi kita berdepan pesakit setiap hari walaupun mereka hanya dikategorikan pesakit luar.
“PPE yang kami beli pun bukanlah yang lengkap, hanya beberapa peralatan saja dijual dalam talian seperti pelitup muka, pelindung muka, apron dan cecair sanitasi,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, pihak hospital memang ada menyediakan PPE, tetapi ia hanya digunakan dalam situasi tertentu kerana jumlahnya terhad.
“Kami hanya disediakan PPE apabila melakukan ujian swab atau ketika menghantar pesakit disyaki dijangkiti Covid-19 ke hospital utama.”
Beliau berkata, mereka juga pernah menjahit pelitup muka untuk kegunaan sendiri dan disumbangkan kepada pesakit kurang berkemampuan.
“Kami edarkan pelitup muka kepada pesakit yang kurang berkemampuan, termasuk kanak-kanak yang menggunakan pelitup muka saiz orang dewasa.
“Kami bersyukur ada juga pesakit yang begitu budiman memberikan sumbangan pelindung muka dan cecair sanitasi kepada kami.”
FMT sedang mendapatkan komen Jabatan Kesihatan Sabah.
Pada Jumaat, tentera menghantar 15 tan barangan kritikal ke Sabah termasuk PPE dan pelindung muka.
Sejak 22 Mac hingga Selasa lepas, tentera membuat sebanyak 17 penerbangan penghantaran barangan kritikal membabitkan jumlah muatan barang bantuan seberat 433,886.5 kg.