
Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan beberapa prinsip yang perlu diberi tumpuan dalam belanjawan kerajaan, antaranya tempoh moratorium pinjaman dilanjutkan secara pukal sekurang-kurangnya untuk tempoh 3 hingga 6 bulan lagi.
Sayap itu turut menyarankan supaya pengeluaran Akaun 1 daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan sekurang-kurangnya sebanyak RM5,000.
“Yuran percuma kepada pelajar universiti awam juga (harus diberikan) oleh kerana tiada sesi pengajaran dan pembelajaran di kampus universiti.
“Lanjutan penangguhan pembayaran sewa bulanan kepada penduduk PPR/PPRT di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan berbentuk memorandum.
Berhubung diskaun rangsangan ekonomi untuk bil elektrik, katanya, ia perlu dilanjutkan untuk tempoh 6 bulan pertama tahun depan bagi membantu rakyat Malaysia yang kini lebih kerap berada di rumah.
Selain itu, sayap itu turut menyarankan supaya kerajaan memberi bantuan kepada syarikat yang berkelayakan dengan geran sebanyak RM5,000 melalui program Geran Khas Prihatin Perniagaan (GKP).
“Melonggarkan syarat pinjaman serta memudahkan proses pinjaman perniagaan di Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Corp atau mana-mana agensi berkaitan untuk peniaga kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
Beliau berkata, bagi PKS yang terkesan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan diperketatkan (PKPD) perlu diberi bantuan pampasan sekurang-kurangnya 50% daripada pendapatan yang hilang.
Selain itu katanya, Pemuda Umno juga mahu program subsidi upah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) digandakan dan diteruskan selama 6 bulan lagi.
Memorandum cadangan Belanjawan 2021 pergerakan itu kepada Kementerian Kewangan turut disiarkan di Facebook.
Asyraf berkata, memorandum 10 halaman itu telah diterangkan secara terperinci kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dalam pertemuan semalam.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menasihati ahli Parlimen supaya menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan 6 Nov ini dalammengutamakan kebajikan rakyat dan pemulihan ekonomi negara.
Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menegaskan bahawa belanjawan itu penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa untuk meneruskan dasar serta usaha menangani Covid-19.