Kerajaan perlu perjelas cadangan beri PATI pas kerja sementara, kata Pemuda Upko

Kerajaan perlu perjelas cadangan beri PATI pas kerja sementara, kata Pemuda Upko

Ia bagi mengelak lambakan pendatang asing ke negara ini pada masa akan datang.

Ketua Pemuda Upko Felix Joseph berkata, pengumuman perdana menteri berhubung perkara itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Sabah, terutama kerana isu kebanjiran PATI di negeri itu belum menemui jalan penyelesaian sejak hampir 2 dekad lepas. 
KOTA KINABALU:
Ketua Pemuda Upko, Felix Joseph Saang berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan serta pertimbangan lebih terperinci sebelum membuat keputusan memberikan pas kerja sementara kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, ia bagi mengelak implikasi lambakan pendatang asing ke negara ini pada masa akan datang.

”Sebelum mengutarakan cadangan ini, kerajaan sekurang-kurangnya perlu terlebih dahulu mempelawa warga tempatan untuk mengisi kekosongan yang ada dalam sektor terbabit.

”Kerajaan sepatutnya membuat cadangan gaji yang berpatutan dan faedah yang setimpal untuk dinikmati pekerja tempatan.

”Saya percaya ia akan menarik ramai belia atau orang tempatan untuk bekerja dalam bidang berkenaan, terutama dalam keadaan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai hilang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Felix berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berhubung perkara itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Sabah, terutama susulan isu kebanjiran PATI di negeri itu yang belum menemui jalan penyelesaian sejak hampir 2 dekad lalu.

”Warga Sabah berhak menyuarakan kebimbangan kerana cadangan ini tidak menggambarkan penyelesaian masalah PATI, tetapi boleh menyebabkan mereka tinggal lebih lama di negeri ini.

‘Kita juga tidak tahu sejauh mana ketelusan pelaksanaan cadangan ini nanti. Kita bukan mahu menuduh sesiapa, tetapi Suruhanjaya Siasatan di-Raja (RCI) sebelum ini membuktikan bahawa wujudnya projek IC di Sabah.

”Perkara ini yang kita tidak mahu berlaku lagi dan saya cadangkan biarlah kekosongan itu dibuka kepada warga tempatan dan gaji yang ditawarkan haruslah setimpal,” katanya.

Muhyiddin pada Jumaat lalu berkata, kerajaan sedang menimbangkan cadangan untuk memberi pas kerja sementara kepada PATI yang berada di negara ini bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja dalam industri kelapa sawit dan getah.

Katanya, kerajaan berusaha mencari jalan untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dalam industri berkenaan, terutama selepas pintu sempadan negara ditutup dalam usaha mengawal penularan Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.