Ekonomi Selangor dijangka tumbuh 2.09% tahun ini, kata Amirudin

Ekonomi Selangor dijangka tumbuh 2.09% tahun ini, kata Amirudin

Amirudin berkata, jika KDNK nasional tahun ini tumbuh pada kadar negatif 0.5%, maka ekonomi Selangor dijangka tumbuh sebanyak 1.07%.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri mencapai 90% daripada sasaran pendapatan kerajaan sehingga 26 Okt lepas.
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor menjangkakan pertumbuhan ekonomi negeri bagi tahun ini mencecah 2.09%, lebih rendah daripada 2019 susulan impak pandemik Covid-19, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac menyebabkan banyak sektor terkesan sehingga menjejaskan unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri itu.

“Kerajaan Selangor menyediakan 3 unjuran berdasarkan senario KDNK nasional, iaitu pertama, jika jangkaan KDNK nasional adalah 0.5%, maka kadar pertumbuhan ekonomi negeri adalah 2.09%.

“Kedua, jika unjuran KDNK nasional pada kadar negatif 0.5%, kadar pertumbuhan Selangor dijangkakan 1.07%.

“Senario paling buruk adalah jika KDNK nasional pada paras negatif 3%, (maka) kadar pertumbuhan Selangor dijangka negatif 1.47%,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Elizabeth Wong Keat Ping (PKR-Bukit Lanjan) berhubung pertumbuhan KDNK kerajaan negeri Selangor.

Mengulas selanjutnya, Amirudin berkata, pelaksanaan PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) juga menjejaskan sektor pembuatan dan perkhidmatan yang menjadi penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi Selangor.

Menjawab soalan tambahan daripada Leong Tuck Chee (DAP-Pandamaran) mengenai pendapatan negeri Selangor bagi tahun ini, beliau berkata, kerajaan negeri mencapai sebanyak 90% sasaran pendapatan sehingga 26 Okt lepas.

“Kita menyasarkan pendapatan RM2.2 bilion pada tahun ini dan setakat ini telah berjaya mencapai sekitar RM1.99 bilion,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.