Belanjawan 2021: Perkasakan sektor kesihatan, pelancongan antara agenda kerajaan

Belanjawan 2021: Perkasakan sektor kesihatan, pelancongan antara agenda kerajaan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata kerajaan tetap perlu berbelanja walaupun negara masih bergelut dengan pandemik.

Menteri di-Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, kerajaan terus komited untuk membantu rakyat walaupun penguncupan ekonomi pada tahun ini menyebabkan hasil kutipan kerajaan merudum dengan ketara.
KUALA LUMPUR:
Memperkasakan sektor kesihatan dan pelancongan negara merupakan antara agenda kerajaan dalam Belanjawan 2021, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Belanjawan yang disifatkan mencabar itu akan turut memberi perhatian dalam memastikan keperluan asas negara seperti makanan, akan sentiasa mencukupi, kata beliau pada sesi temu bual dalam program Agenda Awani yang disiarkan malam tadi.

“Bagi menangani isu kesihatan, sudah pasti hal-hal berkait rapat dengan Kementerian Kesihatan terutamanya berkaitan dengan anggota barisan depan (frontliners), harus diberi perhatian.

“Salah satu sebab kenapa kita masih belum dapat pulih adalah kerana sempadan negara masih ditutup. Ini menjejaskan ekonomi negara, maka sektor pelancongan umpamanya, perlu digerakkan semula,” kata beliau.

Mustapa berkata meskipun negara masih bergelut memerangi pandemik Covid-19, kerajaan tetap perlu berbelanja bagi memastikan ekonomi negara kekal stabil.

Beliau menjelaskan kerajaan mendapat saranan untuk mempertingkatkan perbelanjaan pada tahun depan, antaranya dalam cabang infrastruktur bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat selepas kemerosotan yang teruk akibat Covid-19.

Beliau menambah walaupun penguncupan ekonomi pada tahun ini menyebabkan hasil kutipan kerajaan merudum dengan ketara, kerajaan terus komited untuk membantu rakyat.

Belanjawan 2021 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.