
Pengerusi PKOB Tawau Omar Mammah berkata, agihan bakul makanan di taman itu dimulakan sejak Jumaat lepas dan dijangka selesai malam ini.
“Kita ada 3,492 rumah di lokaliti PKPD Taman Semarak, tetapi kita hanya edar bakul makanan ni kepada 3,176 rumah yang berpenghuni.
“Kita mulai edar pada 30 Okt lalu sehingga jam 1 pagi dan hari ini adalah peringkat akhir pengagihan, kita akan agih bakul makanan kepada 1,100 rumah,” katanya kepada pemberita.
Selain Taman Semarak, bakul makanan juga diedarkan kepada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Balung yang turut dikenakan PKPD.
Beliau menasihatkan penduduk Tawau agar memberi kerjasama dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di daerah itu.
PKPD di Taman Semarak dan PPR Balung dijangka tamat pada 8 Nov ini.