PKPB di beberapa negeri jejas sektor pelancongan Perak

PKPB di beberapa negeri jejas sektor pelancongan Perak

Impak itu boleh dilihat menerusi kadar penginapan di hotel yang kini berkurang sehingga 30%.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Nolee Ashilin Mohammed Radzi (kiri) bersama Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin selepas merasmikan air pancut Bulatan Sultan Yussuf malam tadi. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kehadiran pelancong domestik ke Perak sedikit terjejas berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 14 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, impak tersebut boleh dilihat menerusi kadar penginapan di hotel yang kini berkurang sehingga 30%.

“Jika pasca PKPP kita lihat kadar penginapan hotel pada tahap 50%, kini ia berkurangan kepada 20 hingga 30%. Kita harap dapat bantu rakan-rakan yang sedang menghadapi PKPB untuk memutuskan rantaian Covid-19 agar kita dapat kembali bergerak bebas di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan air pancut Bulatan Sultan Yussuf malam tadi yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin.

Mengenai usaha menaik taraf air pancut Bulatan Sultan Yussuf, Nolee Ashilin berkata langkah itu perlu kerana ia merupakan mercu tanda bandar raya Ipoh yang dibina sejak 1963.

Katanya, projek itu menggunakan lampu diod pemancar cahaya (LED) dan sistem air pancut yang lebih baik selain mempunyai sebuah glob di bahagian atas struktur sebagai tarikan pelancong berikutan kedudukannya yang strategik di tengah bandar raya Ipoh.

Projek itu menelan kos RM400,000 dengan RM200,000 disumbangkan sebuah hotel manakala selebihnya dibiayai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri melibatkan kerja menaik taraf landskap dan struktur utama tanpa mengubah struktur asal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.