Isu bekalan makanan di Taman Semarak selesai

Isu bekalan makanan di Taman Semarak selesai

Isu bekalan keperluan diselesaikan dengan pengagihan bakul makanan kepada penduduk Taman Semarak selain dibenarkan berbelanja di kedai berdekatan taman.

Pada Khamis lepas, penduduk Taman Semarak membuat bantahan aman merayu pihak berkuasa memberi kelonggaran berkaitan SOP PKPD yang dilaksanakan pada 26 Okt hingga 8 Nov di kawasan itu. (Gambar Bernama)
TAWAU:
Isu dibangkitkan penduduk Taman Semarak berhubung bekalan keperluan selepas dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), dianggap selesai.

Jawatankuasa Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Tawau, Joseph Pang berkata bantuan bakul makanan kerajaan negeri diagihkan kepada penduduk sejak Jumaat selain dibenarkan berbelanja di kedai berdekatan taman.

“Kami membenarkan penduduk berbelanja di kedai berdekatan, bakul makanan dari kerajaan negeri turut diedarkan. Pengagihan diteruskan sehingga hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini deretan kedai berhampiran Taman Semarak tidak berada dalam lokaliti PKPD.

Penduduk taman itu yang juga seorang pesara kerajaan, Dg Sarbanun Abd Latif, 63, bersyukur kerana masalah dihadapi rakyat yang memerlukan bekalan makanan serta keperluan lain berjaya diselesaikan dengan segera.

“Ramai penduduk di Taman Semarak mengalami masalah kehabisan bekalan makanan selepas memasuki hari ke-4 dikenakan PKPD di kawasan ini dan keputusan PKOB membenarkan penduduk berbelanja di kedai berhampiran memberi kelegaan kepada kami,” katanya.

Seorang suri rumah, Sarimah Trang, 57, menyifatkan tindakan pantas menyelesaikan masalah rakyat itu sebagai keprihatinan pihak berkuasa tempatan mahupun kerajaan negeri.

“Permasalahan sebelum ini selesai dan kami mendapat kerjasama baik dari pihak berkuasa dan kami juga menerima bantuan bakul makanan semalam,” katanya.

Seorang bekas pegawai bank Ahmad Dullah, 52, berkata terdapat penduduk Taman Semarak yang tidak sempat membuat persediaan bekalan makanan serta keperluan lain selepas pengumuman dibuat mengenai PKPD di taman itu dilaksanakan pada 26 Okt sehingga 8 Nov ini.

“Hal ini kerana ada penduduk yang belum menerima gaji dan ada yang bergaji hari dan ini menimbulkan kesukaran untuk menyediakan barang keperluan rumah dan bantuan bakul makanan dari kerajaan negeri sangat penting, syukur bantuan diagihkan ketika ini,” katanya.

Pada Khamis lepas, penduduk Taman Semarak membuat bantahan aman merayu pihak berkuasa memberi kelonggaran berkaitan SOP PKPD yang dilaksanakan pada 26 Okt hingga 8 Nov di kawasan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.