Pakar gesa Belanjawan selamatkan pengangkutan awam

Pakar gesa Belanjawan selamatkan pengangkutan awam

Galakan penggunaan kenderaan persendirian tidak lestari atau ekonomik, kerana ia hanya akan menambah beban kewangan mereka yang terkesan dengan pandemik.

Sistem transit tanpa landasan di China.
PETALING JAYA:
Pakar menggesa supaya Belanjawan 2021 meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam dengan menyediakan langkah kewangan untuk membantu pengusaha bas bertahan susulan penurunan ketara pendapatan mereka akibat pandemik Covid-19.

Ahmad Farhan Mohd Sadullah dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, belanjawan harus fokus kepada menggerakkan rakyat dan menyelamatkan sektor pengangkutan awam yang beliau menyifatkan hampir lumpuh.

Katanya, ia amat penting kepada pengusaha bas tempatan, wilayah dan antara bandar.

Farhan berkata, galakan penggunaan kenderaan persendirian tidak lestari atau ekonomik, kerana ia hanya akan menambah beban kewangan mereka yang terkesan dengan pandemik.

Beliau berkata, penambahan pelaburan dalam pengangkutan awam akan mengimbangi keperluan rakyat menggunakan kenderaan persendirian, terutama motosikal dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

“Kemalangan motosikal secara berterusan menjadi peratusan paling tinggi korban dan kematian dalam negara. Galakan penggunaan pengangkutan awam akan mengurangkan kebergantungan kepada motosikal,” katanya.

Farhan berkata, lebih banyak dana harus digunakan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan keberadaan polis serta penguatkuasaan pengangkutan jalan raya juga harus ada di semua jalan raya.

Katanya, keadaan jalan raya yang semakin teruk di bandar dan luar bandar mesti dibaiki.

Sementara itu, aktivis sosial dan pakar ekonomi Lim Mah Hui berkata, Putrajaya harus menyediakan pengangkutan awam yang lebih murah dalam bandar, seperti transit automatik tanpa landasan yang memakan hanya sebahagian kos transit aliran ringan konvensional, selain mudah dibina.

Lim berkata, lebih banyak insentif harus diberikan kepada kenderaan bermuatan tinggi dan sumber untuk mewujudkan lorong khas bagi bas dengan keutamaan di persimpangan lalu lintas.

“Bayangkan, jika anda menukar 1 lorong di Lebuhraya Persekutuan untuk kenderaan dan bas seperti itu, ia akan menggalakkan ramai orang berkongsi kereta atau menaiki bas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.