
Presidennya Mohd Khalid Harun berkata, langkah itu dapat memberi peluang kepada penggiat industri menyusun kembali kewangan syarikat susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa sehingga kini, dan terdapat negeri dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
“Sebagai contoh, agensi pelancongan berpeluang fokus dalam membuat pemasaran destinasi pelancongan manakala pengusaha bas persiaran dapat mengelakkan daripada bas mereka ditarik oleh pihak institusi kewangan disebabkan ketidakmampuan untuk membayar ansuran.
“Perlu diingat, selagi sempadan negara tidak dibuka, tiada pergerakan pelancong yang akan keluar mahupun masuk ke Malaysia dan ini menjadikan pengusaha sektor pelancongan sangat terjejas dari segi pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penggiat industri tidak boleh hanya mengharapkan pelancongan domestik sahaja kerana sektor itu hanya mewakili kurang 20% daripada keseluruhan pendapatan sektor pelancongan.
Selain itu, Khalid turut mencadangkan kerajaan meneruskan subsidi upah supaya pengusaha pelancongan tidak perlu membuang pekerja mereka sekali gus menyelamatkan lebih 3.6 juta pekerja (23.6% guna tenaga) dalam sektor itu daripada kehilangan pekerjaan.
Beliau juga berharap kerajaan dapat menyusun semula Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana sebanyak RM1 bilion dengan memberikan kepada agensi kerajaan sedia ada untuk menguruskannya.
Selain memberi pengecualian membayar fi lesen hingga 2022, kerajaan juga perlu memberikan pakej pelepasan cukai yang menarik antaranya dengan pengecualian cukai pendapatan kepada syarikat pelancongan berlesen dan seterusnya menggalakkan pelaburan masuk dalam industri pelancongan ini.
“Kerajaan perlu memandang serius gesaan ini kerana sektor pelancongan memberikan pulangan signifikan dengan menduduki tempat ke-3 iaitu bersamaan 15.9% kepada ekonomi Malaysia selepas sektor perindustrian dan komoditi pada 2019,” katanya.