Bekal makanan setiap hari, tanda terima kasih kepada barisan hadapan

Bekal makanan setiap hari, tanda terima kasih kepada barisan hadapan

Usaha Rebecca Chin membekalkan makanan kepada pekerja kesihatan yang bertungkus lumus menjalankan tugas melawan Covid-19 menjadi rutin hariannya.

Bungkusan makanan yang akan diberikan kepada pekerja kesihatan disediakan di luar Hospital Queen Elizabeth 1 di Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU:
Rebecca Chin tidak pernah membayangkan penghantaran makanan kepada pekerja kesihatan yang bertungkus lumus menjalankan tugas di Sabah akan menjadi misi hariannya.

Chin tidak berdaya apabila melihat pekerja kesihatan di Sabah bertungkus lumus sehingga keletihan, akibat kes Covid-19 yang meningkat dan dia mahu membalas jasa mereka.

Dia memberitahu rakannya Kathie dan Shone Majimbun, suami isteri yang membuka Shoney’s, sebuah kedai makan dan mereka bersetuju untuk menghulurkan bantuan kepadanya.

“Mereka setuju menghulurkan bantuan dan dengan itu perkhidmatan katering kepada barisan hadapan dimulakan pada 20 Oktober. Kami mempunyai makanan yang cukup untuk mengedarkannya selama 3 hari. Bagaimanapun, Kathie kemudian memberitahu saya beberapa rakannya juga mahu menyertai kami,” kata Chin.

Rebecca Chin (depan) dan makanan yang akan diedarkan di Hospital Queen Elizabeth 1.

“Ramai mendapati (inisiatif makanan) dan mula menghubungi saya menyatakan mereka juga ingin membantu. Sebuah restoran juga menghubungi saya dan bertanya jika mereka boleh membekalkan makanan sepanjang hari,” katanya.

Usaha peribadi itu yang pada asalnya hanya mahu dijalankan selama 3 hari kini diteruskan 14 hari lagi.

Chin berkata, sumbangan bukan saja datang dari Sabah malah dari Brunei.

Shone (kiri) dan Kathie Majimbun yang menghulurkan bantuan atas inisiatif Chin.

“Sebenarnya mereka baik hati dan pemurah. Mereka berasa tidak berdaya dan tidak tahu bagaimana boleh membantu dan apabila ada peluang seperti ini, mereka kata ‘ini adalah cara saya membantu’. Saya cuma bertindak sebagai orang tengah.

“Kami tahu kami tak dapat banyak membantu tetapi ia cara kami berterima kasih kepada mereka (barisan hadapan). Kami mahu mereka rasa istimewa dan sedar kami berada di belakang mereka,” katanya.

Chin berkata, sejumlah 400 bungkusan makanan disediakan di Shoney’s dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH 1)setiap hari.

Chin dan rakannya memastikan pekerja kesihatan dapat menikmati pelbagai makanan, seperti pasta dan nasi goreng setiap hari.

“Bukan mudah untuk menyediakan 400 bungkusan makanan dalam 1 hari tetapi kami lakukannya. Daripada apa yang kami buat (selepas 17 hari), kami sediakan 6,400 bungkusan makanan,” katanya.

“Terdapat kira-kira 600 petugas setiap masa di QEH1, jadi kami biar hospital putuskan bagaimana mereka mahu mengedarkan bungkusan makanan ini. Ada juga yang diberi kepada hospital lain,” katanya.

Bagi menyediakannya ia menelan belanja RM2,000. “Setakat ini kami sudah menjalankan misi ini selama 17 hari, tetapi kami akan meneruskan usaha ini selagi berupaya.”

Chin berkata, rakan dan keluarganya turut membantu membekalkan 20l dan 300 botol pensanitasi tangan kepada Jabatan Penjara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.