Finas sedia pelan bantu pawagam, kata Saifuddin

Finas sedia pelan bantu pawagam, kata Saifuddin

Dua syarikat pemilik rangkaian pawagam, iaitu Golden Screen Cinemas dan TGV Cinemas dilaporkan akan menutup sementara operasi mulai 2 Nov ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, Finas memulakan kerja menyediakan pelan bantuan sebaik sahaja mendengar ura-ura penutupan sementara pawagam ekoran kekurangan penonton pada masa ini.
KUANTAN:
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedang menyediakan pelan tindakan khusus untuk membantu pawagam yang perlu menghentikan sementara operasi kesan daripada pandemik Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, Finas memulakan kerja menyediakan pelan itu sebaik sahaja mendengar ura-ura penutupan sementara pawagam ekoran kekurangan penonton pada masa ini.

Menurut Saifuddin, pelan bantuan itu sedang disiapkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan timbalan pengerusi agensi itu Norman Abdul Halim.

“Kita juga akan menyemak jika boleh membantu mereka dalam soal pengecualian cukai hiburan yang terletak di bawah pihak berkuasa tempatan dan kita sedia berunding dengan pihak tersebut,” katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa ribut di Indera Mahkota 2 di sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar 8 malam tadi 85 rumah mengalami kerosakan bumbung.

Hari ini, 2 syarikat pemilik rangkaian pawagam, iaitu Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas (TGV) dilaporkan akan menutup sementara operasi mereka mulai 2 Nov ini sebagai langkah mengawal penularan pandemik Covid-19 yang kembali meningkat sejak kebelakangan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.