
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berharap pelantikan dapat disempurnakan pada hari pertama sidang agar urusan jawatankuasa dapat bersambung semula, kerana ia tidak dapat bersidang sejak Mac susulan penangguhan sidang Parlimen ke Mei.
Katanya, jadual mesyuarat PAC sudah diatur selepas Parlimen bersidang semula dengan pelantikan ahli-ahlinya, dengan taklimat pertama dijadualkan pada 3 Nov dan disambung dengan urusan lain.
“Kita berhasrat untuk membentangkan satu laporan PAC pada minggu pertama Parlimen dan satu lagi laporan PAC pada minggu kedua,” katanya dalam kenyataan.
Wong ketika dihubungi FMT mengenai keanggotaan PAC semasa menjelaskan ketika ini ia hanya dianggotai wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan.
Beliau bagaimanapun mahu konvensyen yang menetapkan keanggotan dwipartisan diikuti. Wong mempengerusikan PAC bersama timbalannya, Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Mohd Dun, dari PPBM.
“Jadi perlu ada ahli daripada pemerintah. Bagaimanapun, jelas Parlimen akan melakukan rombakan dengan melantik ahli baharu,” tambahnya.
Menurut Wong, perkara berkenaan penyempurnaan pelantikan ahli PAC sudah disampaikan kepada Azhar minggu lalu.
Beliau juga mengingatkan PAC yang berkesan dan cekap penting dalam memainkan peranan semak dan imbang pihak eksekutif.