
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, industri pelancongan negeri itu mula mengalami kemerosotan berikutan penguatkuasaan sekatan rentas negeri dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Beliau berkata, walaupun Pulau Pinang kembali kepada zon hijau atau kes Covid-19 rendah dalam beberapa bulan lalu, peningkatan kes di negeri lain memberi impak kepada ekonomi negeri itu.
“Sebagai destinasi pelancongan utama dalam negara, Pulau Pinang sudah mula terkesan dengan impak pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Impaknya luar biasa kepada industri pelancongan tempatan. Kami tidak boleh bertahan jika gelombang ke-4 muncul kerana kami akan terkesan daripadanya,” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu, Chow menyerahkan dana hampir RM1 juta kepada 1,460 pelajar sekolah menengah sebagai sebahagian program dermasiswa yang menyaksikan setiap pelajar menerima RM600 hingga RM840.
Program itu memanfaatkan 11,000 pelajar sejak 2008.