
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Subramaniam Muniandy memberitahu FMT, pihaknya mahu kerajaan mengalihkan dana daripada “kementerian dengan aktiviti berkurangan atau keperluan lebih rendah”, seperti pelancongan dan sukan, kepada sektor perubatan.
Katanya, kerajaan juga patut mempertimbangkan kenaikan yuran pendaftaran pesakit di hospital kerajaan sebanyak RM2 kepada RM5.
Beliau berkata, berdasarkan 77 juta kunjungan tahunan pesakit, kerajaan boleh meraih RM154 juta hingga RM385 juta untuk menampung kos ubat-ubatan.

Subramaniam berkata, pandemik mendedahkan kelemahan dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia dan beliau berharap dana akan diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur dalam sektor perubatan.
Untuk meringankan beban kewangan doktor, beliau berharap potongan 50% dapat diberikan kepada pendapatan bercukai doktor dan kadar cukai mereka diturunkan 1-2%.
Katanya, doktor juga memerlukan potongan bagi pengembangan klinik dan peralatan saringan Covid-19 serta subsidi untuk pembelian peralatan perlindungan peribadi.
Tender untuk syarikat farmaseutikal
Billy Urudra, presiden Pertubuhan Industri Farmaseutikal Malaysia, berkata pandemik Covid-19 meningatkan keperluan untuk berdikari dalam perubatan kerana Malaysia “tidak boleh terlalu bergantung kepada import pada waktu krisis”.

Beliau menggesa pelaksanaan semula “perjanjian off-take” yang dihentikan kerajaan terdahulu akibat kebimbangan terhadap pemberian kontrak tanpa tender.
“Syarikat ini mendapat perjanjian ‘off-take’ yang membolehkan mereka membuat rundingan terus dengan kerajaan untuk membekalkan produk yang mereka hasilkan di dalam negara.
Urudra berkata, sebelum dihentikan kerajaan terdahulu, perjanjian ini menarik pelaburan berbilion ringgit dan membantu mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam industri.
Beliau menggesa kerajaan memberi jaminan pemberian sekurang-kurangnya 30% tender farmaseutikal kepada pengeluar tempatan.
Katanya, ini akan menjadi insentif kepada syarikat untuk bersaing dengan syarikat besar seperti Pfizer dan Novartis yang didakwanya mengamalkan harga pemangsa pada masa lalu untuk mengatasi pengeluar tempatan serta memenangi tender.
Potensi ‘perkongsian pintar’

Dr Kuljit Singh, presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, berkata terdapat potensi untuk “perkongsian pintar” dengan hospital swasta bagi meringankan beban hospital kerajaan.
“Untuk kes tertentu, hospital kerajaan boleh merujuk pesakit kepada hospital swasta. Ini dapat membantu mengurangkan senarai panjang menunggu mereka untuk prosedur, pembedahan dan pengimejan yang semakin banyak.”
Katanya, membayar kos kes yang dipindahkan ini masih lebih murah daripada membina hospital kerajaan baru.