
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga hari ini terdapat 37 kluster berkaitan tempat kerja yang masih aktif termasuk 2 kluster baharu diumumkan pada hari ini.
“KKM amat berterima kasih dan ingin menyampaikan penghargaan kepada majikan dan syarikat swasta dalam bersama-sama membantu mengekang penularan Covid-19 di kalangan warga kerja,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam pada itu, Hisham berkata tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan Covid-19 terhadap pekerja membolehkan pengesanan kes positif yang tidak bergejala dalam kalangan warga kerja.
Ini seterusnya membantu KKM menjalankan aktiviti kesihatan awam dengan segera.
“Ini sekaligus dapat membendung penularan jangkitan Covid-19 dalam sesebuah komuniti dan seterusnya melindungi individu-individu daripada kumpulan berisiko tinggi, warga emas dan kanak-kanak.
“Selain tindakan proaktif majikan, warga pekerja juga mempunyai peranan yang besar dalam membantu KKM untuk membendung penularan Covid-19 di tempat kerja dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.
Hisham berkata warga kerja perlu sentiasa mengamalkan kawalan kendiri ketika berada di tempat kerja.
Persekitaran tempat kerja yang bersih dan selamat juga hendaklah dijadikan kebiasaan harian bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.