
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Tricia Yeoh berkata, peningkatan kes positif Covid-19 ketika ini mewajibkan semua ahli Parlimen kekal fokus kepada pemulihan kesihatan dan ekonomi negara.
“Buat masa ini, semua ahli Parlimen perlu memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam kerjasama mereka dan memberi keutamaan untuk meluluskan Belanjawan 2021.
“Malaysia amat memerlukan semua sumber yang dimiliki negara disalurkan ke arah membina semula kesejahteraan sosial dan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Yeoh berkata negara kini berada di persimpangan dan pemimpin mempunyai 1 peluang untuk membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul.
“Harapan kami, mereka mampu membuktikan pada rakyat yang mereka sebenar-benarnya pemimpin pada saat mendesak ini,” katanya.
IDEAS mengulas keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan perintah darurat, menyaksikan Belanjawan 2021 akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini seperti dirancang.
Dalam pada itu, Yeoh berkata andai pilihan raya umum sebagai jalan terakhir, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus bersedia melaksanakannya sebagai 1 penyelesaian demokratik kepada kebuntuan politik semasa.
“Institusi demokrasi Malaysia harus sentiasa didokong dan sebarang percubaan untuk meragut demokrasi berparlimen ini mesti dielakkan.
“Keputusan untuk tidak melaksanakan darurat bermakna ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak di Dewan Rakyat perlu mengenepikan perbezaan mereka dan memberi keutamaan kepada kesihatan dan kesejahteraan semua rakyat,” katanya.