
Difahamkan pertemuan itu juga diadakan susulan Yang di-Pertuan Agong semalam memutuskan tiada keperluan pelaksanaan darurat.
Ahli Parlimen dilihat tiba di PWTC bermula 2 petang antaranya Tengku Razaleigh Hamzah, Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Annuar Musa, Shamsul Anuar Nasarah, Reezal Merican Naina Merican, Halimah Mohamed Sadique dan Noraini Ahmad.
Sementara itu, Hishammuddin yang juga ahli Parlimen Sembrong berkata mesyuarat hari ini mungkin membincangkan pendirian ahli Parlimen BN berhubung kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
“Itulah sebab kita bincang saya mahu dengar pandangan (wakil rakyat) BN,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada perlu atau tidak perdana menteri meletak jawatan.
Bagaimanapun, sehingga kini masih tidak dapat disahkan adakah isu kedudukan perdana menteri menjadi agenda utama pertemuan parti itu.
Beberapa ahli Parlimen lain ketika ditemui enggan memberikan sebarang komen.
Difahamkan, ahli majlis kerja tertinggi Umno juga akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan perkembangan politik semasa.
Ketika ditanya sama ada Umno masih kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), Hishammuddin berkata beliau tidak mengetahui agenda pertemuan itu.
“Saya tidak tahu kita tunggu mesyuarat Umno dulu,” katanya.
Pagi tadi semua menteri Kabinet menyertai mesyuarat khas yang dipengerusikan Muhyiddin.
Ia berlaku susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bagi menangani wabak Covid-19 seperti dicadangkan kerajaan pimpinaan Muhyiddin sebelum ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Agong percaya kerajaan berjaya menangani wabak itu dengan baik dan berkesan.
Katanya, Sultan Abdullah yakin dengan keupayaan kerajaan pimpinan Muhyiddin dalam melaksanakan dasar dan langkah penguatkuasaan bagi membendung penularan wabak itu.
Selain itu katanya, Agong juga mengingatkan ahli politik supaya berhenti “bermain politik” supaya kestabilan negara tidak terjejas.
Dalam kenyataan sama, Sultan Abdullah turut menegaskan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat amat penting dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.