9 pemandu mabuk didakwa mengikut pindaan akta baharu

9 pemandu mabuk didakwa mengikut pindaan akta baharu

Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, penjara sehingga 2 tahun serta hilang kelayakan lesen selama 2 tahun.

Semua tertuduh berusia antara 25 hingga 56 tahun didakwa atas pertuduhan memandu bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.
JOHOR BAHRU:
Lapan lelaki dan seorang wanita menjadi individu terawal dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini mengikut pindaan baharu Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan pindaan 2020 yang berkuat kuasa Jumaat lepas.

Semua tertuduh berusia antara 25 hingga 56 tahun itu didakwa atas pertuduhan memandu bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan iaitu 50mg dalam 100ml darah di sekitar Johor Bahru antara 23 hingga 25 Oktober lepas.

Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, penjara sehingga 2 tahun serta hilang kelayakan lesen selama 2 tahun.

Lapan daripada mereka termasuk tertuduh wanita mengaku bersalah, manakala seorang lagi minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Nur Asidah A Rahman.

Nur Asidah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 7 hari, denda RM10,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama 2 tahun ke atas 8 tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan semua mereka menjalani hukuman penjara dari tarikh sabitan dan dipenjara 10 bulan lagi jika gagal membayar denda.

Bagi seorang tertuduh yang mengaku tidak bersalah, mahkamah membenarkan jaminan RM13,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 26 November.

Terdahulu, pegawai pendakwaan trafik Azmi Abdul Salam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh dan masyarakat awam.

Kelapan-lapan tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan mereka sudah insaf dan perlu menanggung keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.