TMJ berdoa Allah lindungi negara daripada orang ‘gila kuasa’

TMJ berdoa Allah lindungi negara daripada orang ‘gila kuasa’

Tunku Mahkota Johor berkata, paling penting sekarang ialah kebajikan rakyat diutamakan dan pemulihan ekonomi berjalan lancar.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, situasi sekarang ialah petunjuk jelas apa yang akan berlaku apabila kuasa mentadbir diberikan sepenuhnya kepada orang politik. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuji peranan semak dan imbang raja dalam pentadbiran negara, ketika raja-raja Melayu membincangkan cadangan dikemukakan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Situasi sekarang adalah petunjuk jelas menunjukkan apa yang akan berlaku bila kuasa mentadbir diberikan sepenuhnya kepada orang-orang politik saja,” tulisnya di Facebook hari ini.

Katanya, paling penting sekarang ialah kebajikan rakyat diutamakan dan pemulihan ekonomi berjalan lancar.

“Semoga Allah memberkati kebijaksanaan raja-raja Melayu untuk menjaga kestabilan negara dan melindungi negara daripada ancaman orang-orang yang tamak dan menggilakan kuasa demi kepentingan peribadi.

“Inilah pentingnya sistem beraja, di mana raja-raja Melayu berfungsi memberi kelebihan ‘check & balance’ dalam pentadbiran negara.

“Doa dan harapan saya adalah kestabilan. Semoga Allah sentiasa memberkati raja-raja Melayu.”

Perbincangan khas raja-raja Melayu sedang diadakan di Istana Negara bagi meneliti cadangan yang dikemukakan Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong Jumaat lalu.

Tiada butiran berhubung cadangan itu, tetapi spekulasi tersebar luas mendakwa pengisytiharan darurat atau darurat separa antara perkara yang dikemukakan kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.