Mengapa N Sembilan tak berada dalam krisis perlembagaan

Mengapa N Sembilan tak berada dalam krisis perlembagaan

Secara asasnya Raja-raja Melayu perlu menjalankan peranan tanpa gangguan kerana ia boleh menjejaskan tanggungjawab perlembagaan serta kestabilan negara.

Istana Seri Menanti

Perkembangan di Negeri Sembilan melibatkan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menimbulkan kebimbangan kerana kesan perlembagaannya, apatah lagi apabila ada pihak mendakwa negeri itu sedang berdepan krisis perlembagaan.

Raja-raja Melayu memainkan peranan penting dalam kerangka perlembagaan negara. Di peringkat persekutuan, mereka menjadi ahli Majlis Raja-raja, iaitu sebuah badan perlembagaan mempunyai tanggungjawab besar.

Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya juga dipilih dalam kalangan Raja-raja Melayu.

Di negeri masing-masing, Raja-raja Melayu mempunyai kuasa eksekutif, termasuk kuasa eksklusif melantik menteri besar serta menjadi ketua agama Islam.

Mahkamah Persekutuan dalam kes Dhinesh Tanaphll lawan Lembaga Pencegahan Jenayah & Ors (2022) mengiktiraf fungsi Raja-raja Melayu sebagai ciri asas Perlembagaan Persekutuan dan bersama ciri-ciri lain, ia menjadi ‘teras penting kepada keamanan dan kestabilan negara’.

Justeru, Raja-raja Melayu mesti diberi ruang melaksanakan peranan mereka tanpa halangan tidak wajar.

Sebarang campur tangan tidak berasas bukan sahaja mengganggu pelaksanaan tugas perlembagaan mereka, malah boleh menggugat keamanan dan kestabilan.

Bab VII Kanun Keseksaan memperuntukk pelbagai kesalahan bagi melindungi institusi ini daripada gangguan, termasuk kesalahan merampas atau menurunkan raja secara salah.

Namun, ini tidak bermakna tiada mekanisme menggantung atau menyingkirkan seorang Raja Melayu jika ada alasan yang sah.

Hal ini bergantung peruntukan dalam perlembagaan negeri masing-masing mengenai pihak berkuasa yang boleh bertindak, sebab-sebab penyingkiran dan prosedur yang perlu diikuti.

Perlembagaan Negeri Sembilan memperincikan perkara ini dalam Artikel X, yang menetapkan satu rangka kerja dengan beberapa ciri penting bagi mengelakkan campur tangan yang tidak wajar.

Ia memerlukan siasatan penuh oleh Undang-undang untuk menentukan sama ada Yang di-Pertuan Besar:

“…mengalami kecacatan serius menjejaskan kelayakan sebagai Yang di-Pertuan Besar seperti tidak siuman, buta, bisu, atau mempunyai sifat tidak dibenarkan oleh hukum syarak, atau melakukan perbuatan yang mencemar kesucian, kehormatan dan martabat jawatan tersebut, atau sengaja melanggar perlembagaan negeri…”

Pertama, seseorang Yang di-Pertuan Besar hanya boleh digantung atau disingkirkan jika ada bukti objektif baginda melakukan kesalahan serius seperti yang diperuntukkan.

Kedua, tindakan itu hanya boleh dibuat selepas Undang-undang menjalankan siasatan lengkap dan menyeluruh terhadap dakwaan itu.

Memandangkan perkara ini amat serius, siasatan mesti dijalankan secara formal dan teliti.

Raja juga perlu diberi peluang untuk membela diri, termasuk dimaklumkan tentang tuduhan dan asas fakta, supaya baginda dapat memberi penjelasan sepenuhnya.

Ketiga, hanya selepas Undang-undang membuat keputusan berdasarkan bukti dakwaan itu benar, barulah mereka boleh meminta Yang di-Pertuan Besar sama ada menarik diri sementara atau turun takhta.

Keputusan itu perlu disusuli dengan pengisytiharan rasmi ditandatangani Undang-undang dan menteri besar.

Keempat, kuasa Undang-undang juga tertakluk kepada had yang ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri Sembilan. Selain Artikel X, Undang sendiri boleh disingkirkan mengikut adat, di bawah bidang kuasa Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

Rangka kerja ini bertujuan memastikan sebarang tindakan terhadap Yang di-Pertuan Besar dilakukan secara teratur dan menjaga martabat institusi diraja serta Undang-undang. Ia tidak sepatutnya disalah guna untuk mencetuskan konflik atau sensasi.

Malangnya, situasi di Negeri Sembilan kelihatan menunjukkan sebaliknya.

Dilaporkan DKU pada 17 Aril memutuskan untuk melucutkan jawatan Mubarak Dohak sebagai Undang Sungei Ujong kerana didakwa melanggar adat.

Namun, pada 19 April, Mubarak mengadakan sidang media dan mendakwa bahawa beliau bersama Undang-undang lain telah memutuskan menurunkan Tuanku Muhriz dan melantik Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pengganti.

Yang penting, Mubarak tidak mengemukakan sebarang pengisytiharan rasmi ditandatangani Undang-undang dan menteri besar.

Selain itu, tidak kelihatan Tuanku Muhriz telah dimaklumkan mengenai tuduhan terhadap baginda atau diberi peluang untuk membela diri. Ini menimbulkan persoalan besar sama ada siasatan ‘penuh dan lengkap’ seperti yang diwajibkan oleh Artikel X benar-benar telah dijalankan.

Kenyataan itu bagaimanapun ditolak oleh menteri besar yang mengesahkan Mubarak telah dilucutkan jawatan sebagai Undang dan mempersoalkan kewibawaannya.

Undang-undang lain juga dilaporkan menafikan melalui media sosial bahawa sebarang keputusan seperti itu dibuat dalam mesyuarat DKU pada 17 April.

Persoalan utama kini ialah sama ada benar keputusan menyingkirkan Mubarak dibuat dalam mesyuarat itu. Jika benar, maka isu ini sebenarnya telah selesai.

Walaupun menteri besar telah mengesahkan perkara itu, pengesahan lanjut daripada DKU mungkin dapat meredakan keadaan.

Dilihat dari sudut ini, hakikatnya tidak wujud krisis perlembagaan di Negeri Sembilan.

 

Malik Imtiaz Sarwar ialah seorang peguam kanan dalam bidang perlembagaan dan hak asasi manusia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.