
Menjawab laporan akhbar The Star bertajuk “MAHB checkmates AirAsia X” semalam, pengendali lapangan terbang itu berkata, ia melaksanakan hak perundangan untuk mendapatkan semula hutang daripada AirAsia X kerana ia sangat penting untuk penerusan dan operasi baik pulih lapangan terbang.
MAHB berkata, caj aeronautik AirAsia X yang tertunggak juga merangkumi caj yang dikenakan oleh kerajaan, termasuk caj perkhidmatan penumpang (PSC), caj keselamatan perkhidmatan penumpang, caj parkir dan pendaratan pesawat, serta caj jambatan udara, caj kaunter daftar masuk dan caj pembayaran lewat.
“Wang ini akan disalurkan semula ke dalam perniagaan untuk mengekalkan operasi lapangan terbang dan memastikan tahap layanan yang sewajarnya terus tersedia kepada penumpang.”
MAHB berkata, hutang AirAsia X adalah kurang 0.01% daripada nilai rancangan penstrukturan semula syarikat itu sebanyak RM63.5.
MAHB berkata, adalah tidak benar bahawa saman itu akan “melumpuhkan AirAsia X” atau “memaksa AirAsia X gulung tikar”, seperti yang didakwa dalam laporan akhbar tersebut.
Katanya, pandemik Covid-19 menyebabkan waktu sukar bagi industri penerbangan, termasuk lapangan terbang.
“Tetapi menutup lapangan terbang bukanlah pilihan bagi negara. Lapangan terbang adalah prasarana nasional yang strategik dan kritikal dan ia tetap akan beroperasi hatta sewaktu wabak melanda.”
MAHB berkata ia bertanggungjawab bertindak berdasarkan kepentingan terbaik syarikat bagi melindungi pemegang saham, prasarana pengangkutan udara negara dan lebih 10,000 kakitangan di seluruh negara.
Dalam pada itu, MAHB turut menafikan dakwaan laporan The Star, yang menyebut ia mahu “membunuh” AirAsia X atau mendapatkan “posisi unggul” dalam rundingan mengenai rancangan penstrukturan semula AirAsia X.
“Tegasnya, di bawah Bahagian VII Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), persaingan antara syarikat penerbangan dikawal selia.
“Campur tangan mana-mana pihak akan dipantau dan tertakluk kepada denda yang ditetapkan oleh Mavcom.
“Kita sentiasa melayan rakan syarikat penerbangan rakan dengan adil dan saksama.
“Namun, kita mengakui kepentingan AirAsia sebagai rakan utama dan kita akan terus berhubung dengan mereka untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.”