Sabah bakal hilang RM900 juta sebulan susulan kuat kuasa SOP baru kelapa sawit, kata pemilik ladang

Sabah bakal hilang RM900 juta sebulan susulan kuat kuasa SOP baru kelapa sawit, kata pemilik ladang

Antara SOP baru untuk sektor kelapa sawit di Sabah ialah had 50% kapasiti kehadiran pekerja dan waktu kerja lebih pendek dari 6 pagi hingga 6 petang.

Persatuan Pemilik Ladang Malaysia berkata, anggaran kerugian pendapatan ialah RM900 juta sebulan tanpa mengambil kira kerugian isirong sawit dengan penguatkuasaan SOP baru Covid-19 di sektor kelapa sawit.
KUALA LUMPUR:
Dengan harga minyak sawit mentah (MSM) pada masa ini diniagakan sekitar RM3,000 setan, Sabah berpotensi kehilangan pendapatan RM900 juta sebulan berikutan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) baru bagi mengekang lonjakan penularan pandemik Covid-19.

Kerajaan negeri Sabah baru-baru ini mengumumkan SOP baru untuk sektor kelapa sawit negeri itu, antaranya mengehadkan hanya 50% kapasiti kehadiran pekerja dan waktu kerja yang lebih pendek setiap hari, bermula 6 pagi hingga 6 petang untuk rantaian bekalan pemprosesan.

Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) menganggarkan sekiranya keseluruhan rantaian bekalan minyak sawit di Sabah dikekang menurut peraturan baru itu, negeri Sabah boleh menyaksikan pengeluaran MSM merosot sebanyak 300,000 tan sebulan yang ditetapkan berbanding musim tanaman yang tinggi pada masa ini.

“Pada harga MSM yang menguntungkan hampir RM3,000 setiap tan, anggaran kerugian pendapatan boleh menjadi RM900 juta sebulan atau RM30 juta sehari dan kerugian ini tidak mengambil kira kerugian isirong sawit,” katanya dalam satu kenyataan.

Persatuan itu berkata, sejak tahun 2005, kerajaan negeri memungut 7.5% cukai jualan ke atas MSM daripada pihak berkepentingan kelapa sawit dan dalam beberapa tahun ini, purata jumlah jualan cukai boleh kutip daripada MSM untuk dana negeri boleh mencapai antara RM800 juta hingga RM1 bilion.

“SOP baru yang diperkenalkan ini juga akan memberi kesan kepada hasil cukai jualan negeri dan melihat kepada potensi kerugian pendapatan RM900 juta sebulan daripada MSM, ia juga akan menjuruskan kepada kerugian RM68 juta sebulan dalam kutipan cukai jualan Sabah,” jelas persatuan itu.

Ia berkata potensi kerugian dalam pendapatan cukai ini tidak dapat membantu dalam mengurangkan pandemik Covid-19 di Sabah pada masa ini.

“Tidak perlu bagi sektor perladangan untuk mematuhi peraturan 50% kehadiran tenaga kerja apabila jarak sosial 1 meter mengikut undang-undang, nisbah pekerjaan 1 pekerja untuk 7 hektar dan jarak antara setiap ladang 9 meter dalam ladang kelapa sawit, semuanya telah diamalkan”.

MEOA menekankan terdapatnya keunikan sektor kelapa sawit, dengan lokasinya yang terpencil dan tersebar luas, terutamanya dalam landskap luar bandar, penjarakan sosial telahpun menjadi sifat kerja dan norma operasinya.

“Kami merayu agar kerajaan negeri Sabah supaya mengkaji dan segera menarik balik sekatan SOP baru ini yang turut merangkumi sektor kelapa sawit.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, bukan sahaja ia melibatkan tiada kawalan ke atas lebih 220,000 pekerja ladang, implikasi sosial, ekonomi dan politik juga mungkin boleh hancur.

“SOP baru ini akan menyaksikan pekebun kecil dan peserta saiz pertengahan dalam sektor minyak sawit negeri menanggung sebahagian besar kerugian berkenaan dalam tempoh ini,” katanya.

Statistik Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2019 menunjukkan sektor kilang minyak sawit Sabah memproses 24 juta tan buah tandan segar daripada pekebun kecil dan penanam yang menghasilkan 5.04 juta tan MSM dan 1.15 juta tan isirong sawit.

TAG:
MEOA, sektor minyak sawit, SOP baharu, kerajaan negeri, Sabah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.