Kestabilan politik mungkin dorong perpindahan Shell ke Sarawak, kata penganalisis

Kestabilan politik mungkin dorong perpindahan Shell ke Sarawak, kata penganalisis

Penganalisis berkata keputusan untuk mengecilkan operasi di Sabah dan memindahkan kakitangan ke Miri mungkin kerana dasar lebih jelas di Sarawak.

Kakitangan Shell, yang terlibat dalam operasi huluan seperti penerokaan, penggerudian dan pengekstrakan akan berpindah ke Miri dengan pengecilan pejabat syarikat itu di Sabah. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Seorang penganalisis percaya keputusan Shell untuk mengecilkan operasinya di Sabah dan memindahkan pekerjanya ke Sarawak didorong oleh kestabilan politik akhir-akhir ini.

Penganalisis sosiopolitik Awang Azman Pawi berkata kestabilan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Abang Johari Openg berjaya memberi keyakinan kepada pelabur asing dan tempatan terhadap Sarawak.

“Ini (terutamanya) menarik pelabur asing untuk menggerakkan lebih banyak pelaburan ke Sarawak dan dapat dikaitkan dengan langkah terbaru Shell (di Sabah),” katanya kepada FMT.

“Penempatan semula fokus Shell (kembali) ke Miri adalah kerana Sarawak dilihat mempunyai dasar negeri yang lebih jelas serta fasiliti lebih baik.

“Ini menunjukkan keyakinan negeri itu yang bersedia untuk terus berkembang dan maju dalam industri minyak dan gas. ”

Menurut Awang Azman, usaha Sarawak dalam mempertahankan haknya dengan menentang Putrajaya dalam isu-isu berkaitan minyak dan gas juga merupakan pertimbangan lain.

Pada 1 Januari tahun lalu, Sarawak mengenakan cukai jualan 5% ke atas produk petroleum Petronas di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.

Namun, Petronas pada awalnya menolak untuk membayar cukai tersebut dengan berkata, ia tidak mengikut berperlembagaan, sekali gus menyebabkan kerajaan negeri mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Pada 13 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Sabah dan Sarawak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan cukai penjualan ke atas produk petroleum, selain menolak permohonan Petronas untuk mengisytiharkan cukai penjualan Sarawak sebagai terbatal dan tidak sah.

“Ini menunjukkan Sarawak serius dalam memperjuangkan kepentingan dan kebajikan pelabur di negeri itu,” kata Awang Azman.

“Langkah Shell untuk menghentikan operasinya di Kota Kinabalu pasti akan menjadi tamparan bagi industri minyak dan gas di Sabah.”

Terdahulu, FMT melaporkan Shell akan mengecilkan operasinya di Sabah dan memindahkan kakitangan operasi huluannya dari Plaza Shell di sini, ke Miri di Sarawak, yang merupakan ibu pejabat huluan syarikat itu.

Sumber berkata, dalam mesyuarat dalaman minggu lalu, kakitangan syarikat itu diberitahu Shell akan mengecilkan operasinya di Kota Kinabalu dan berpindah ke Miri, Sarawak.

Shell Malaysia kemudiannya mengesahkan bahawa langkah itu sedang berjalan, tetapi ia tidak memperincikan bilangan kakitangan terlibat atau sebab utama langkah itu diambil.

Pakar ekonomi politik, Firdausi Suffian, bagaimanapun, tidak percaya politik mempunyai kaitan dengan keputusan syarikat gergasi tenaga itu.

“Dari segi infrastruktur minyak dan gas, Sarawak lebih banyak penawaran berbanding Sabah.

“Pemindahan pejabat (huluan) mereka ke Sarawak tidak akan mempengaruhi aktiviti teras syarikat seperti pengekstrakan sumber daya,” katanya, selain menambah bahawa Shell masih dapat menjalankan perniagaan huluan mereka dari sana.

Namun beliau bersetuju bahawa langkah itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi masyarakat di Sarawak, terutama di Miri.

Sementara itu, aktivis politik Zainnal Ajamain juga berpendapat keputusan Shell dipengaruhi oleh faktor perniagaan, bukannya kestabilan politik negara.

“Saya rasa Shell memindahkan sebahagian kakitangannya ke Miri kerana ada banyak perbincangan mengenai sumber yang dapat ditemui di daerah Baram,” katanya.

Beliau berkata, dengan memindahkan kakitangan huluan dari Sabah ke ibu pejabat di Miri, peluang Shell lebih cerah ketika membida kontrak berpotensi daripada Petronas yang mengawal selia semua isu berkaitan minyak dan gas di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.