
Beliau berkata, Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan 3 prasyarat perlu dipertimbangkan sebelum darurat boleh diisytiharkan, iaitu jika keselamatan, keadaan ekonomi atau ketenteraman awam tergugat.
“Tidak mungkin perdana menteri ketika ini berpandangan keselamatan negara terjejas dan perlu terus memegang jawatan itu. Begitu juga dengan ketenteraman awam dan ekonomi negara.
“Jadi, prasyarat ini tidak boleh digunakan. Perlu dimaklumkan ‘kesihatan’ bukan perkara asas (untuk dijadikan syarat mengisytiharkan darurat),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Agong menerusi kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, rundingan akan diadakan dengan raja-raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi memperhalusi cadangan dikemukakan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam.
Katanya, dalam pertemuan kira-kira sejam setengah semalam, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah diberitahu mengenai cadangan yang dicapai dalam mesyuarat khas Kabinet.
Spekulasi tersebar luas semalam mendakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin mempertimbangkan pelaksanaan darurat untuk menangani Covid-19 yang mencecah 700 hingga 800 kes baru setiap hari.
Thomas berkata, Malaysia terkesan dengan pelbagai wabak dan penyakit berjangkit lain, seperti tuberkulosis dan Selsema Sepanyol sejak berabad lalu, tetapi kerajaan tidak pernah mengisytiharkan darurat.
“Langkah kesihatan dan sanitasi awam perlu dilaksanakan berdasarkan undang-undang sedia ada tanpa perlu menggunakan kuasa diperuntukkan di bawah undang-undang darurat.
“Dalam keadaan seperti ini, tidak ada alasan undang-undang untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia ketika ini. Oleh itu, ia akan menjadi tindakan tidak berperlembagaan (jika dilaksanakan).”
Katanya, ironinya apabila Muhyiddin dan menteri kewangan yang didakwa berhasrat menggantung Parlimen serta menangguhkan pembentangan Belanjawan 2021.
Beliau menyifatkan tindakan itu tidak berperlembagaan kerana melanggar sub-artikel ke-3 di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 150(3) mengkehendaki proklamasi ini dibentangkan di kedua-dua dewan. Lebih penting lagi, proklamasi ini hanya akan berhenti jika ketetapan diluluskan kedua-dua dewan untuk ‘membatalkan proklamasi tersebut’.”