
Muhammad Faiz Na’aman berkata, tidak dinafikan pelaksanaan perintah darurat boleh memberi impak kepada ekonomi, tetapi ia tidak seharusnya dilihat dari sudut negatif sahaja, memandangkan ramai pelabur lebih mementingkan kestabilan politik serta keselamatan yang terjamin.
“Ia merupakan langkah sementara bagi meredakan sesuatu konflik atau krisis yang sedang melanda. Orang politik akan terpaksa mengamalkan ‘moratorium berpolitik’ selama darurat dijalankan. Itu yang mahu dilihat majoriti rakyat.
“Ya betul darurat boleh memberi impak kepada ekonomi dari beberapa sudut, tetapi ia tidak semestinya kesan yang bersifat negatif.
“Ramai pelabur lebih mementingkan kestabilan politik serta keselamatan yang terjamin berbanding gelora kebebasan politik yang melampau,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, menerusi kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, akan mengadakan rundingan dengan Raja-raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dipercayai berkait keadaan semasa negara.
Sebelum ini tersebar luas spekulasi yang mendakwa kerajaan mempertimbangkan langkah perisytiharan darurat untuk menangani wabak Covid-19 yang kini merekodkan angka jangkitan 700 hingga 800 kes sehari.
Pada masa sama, Faiz turut menyelar kenyataan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil yang menggesa Muhyiddin meletak jawatan terlebih dahulu dan menyerahkan kepada budi bicara Agong untuk membuat sebarang keputusan.
“Agong berkenan melantik Muhyiddin selaku perdana menteri Malaysia yang ke-8. Maka wajarlah perdana menteri meneruskan amanah itu terhadap rakyat selagi menepati perlembagaan persekutuan.
“Mencadangkan supaya perdana menteri meletak jawatan ketika negara memerlukan pemimpin menguruskan kerajaan pada waktu krisis adalah tidak bertanggungjawab, opportunistik dan khianat terhadap kepercayaan diberikan Istana Negara kepada Muhyiddin,” katanya.
Faiz berkata, desakan supaya perdana menteri meletak jawatan atau mahu menukarnya sama ada melalui pilihan raya atau usul undi tidak percaya di Parlimen pada waktu ini adalah tindakan terdesak kelompok yang gilakan kuasa ketika ramai rakyat merana.
“Jangan ada mana-mana pihak yang mengaku menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) atas alasan ‘gencatan politik’, tetapi membuat kenyataan terbuka dan senada dengan pembangkang yang tidak berkesudahan mempolitikkan semua isu,” katanya.