Jelaskan undang-undang mana terpakai untuk tangguh PRK, PRN, soal Annuar

Jelaskan undang-undang mana terpakai untuk tangguh PRK, PRN, soal Annuar

Nasihat sama juga perlu diberikan peguam apabila majoriti pengundi di Parlimen Batu Sapi turut berhasrat menangguhkan PRK di kawasan mereka.

Setiausaha Agung Barisan Nasinonal (BN) Annuar Musa mempersoalkan mengenai undang-undang mana yang perlu digunakan apabila 87% pengundi tidak mahu PRU dilaksanakan kerana bimbang Covid-19.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa meminta peguam yang menentang pelaksanaan darurat menjelaskan undang-undang yang perlu digunakan apabila majoriti pengundi menolak pelaksanaan pilihan raya umum ke-15, kerana bimbang penularan wabak Covid-19.

Annuar berkata, nasihat sama juga perlu diberikan peguam apabila majoriti pengundi di Parlimen Batu Sapi turut berhasrat menangguhkan pilihan raya kecil di kawasan mereka.

Ia termasuk kebimbangan sama dizahirkan rakyat Sarawak yang tidak mahu situasi di Sabah terjadi di negeri mereka.

“Tolong nasihat undang-undang mana boleh digunakan apabila pengundi Batu Sapi mahu kerajaan menunda pilihan raya kecil?

“Undang-undang mana boleh digunakan apabila orang Sarawak mahu pilihan raya negeri (PRN) mereka ditangguhkan kerana takut apa yang berlaku di Sabah.

“Serta, undang-undang mana perlu digunakan apabila 87% pengundi menyatakan mereka tidak mahu PRU dilaksanakan, kerana bimbang penularan wabak Covid-19,” katanya di Twitter, malam tadi.

Annuar berkata demikian sebagai respons kepada laporan FMT memetik pandangan peguam bahawa tidak perlu meletakkan negara di bawah Undang-Undang Darurat kerana Akta Pencegahan dan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit sudah memberikan peruntukan kuasa yang luas.

Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan berada di Kuantan, Pahang menghadap Agong bersama-sama dengan beberapa anggota Kabinet lain, di sebalik spekulasi Putrajaya ketika ini yang mempertimbangkan untuk melaksanakan “darurat”.

Pertemuan itu menyusuli mesyuarat khas Kabinet membincangkan Belanjawan 2021 di Putrajaya. Selain para menteri, difahamkan Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang, Peguam Negara, Idrus Harun dan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador turut hadir turut hadir ke mesyuarat Kabinet itu.

Peguam Andrew Khoo semalam menyatakan, Putrajaya masih tidak memanfaatkan secara menyeluruh semua peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Malah, seorang lagi peguam Lim Wi Jiet turut memaklumkan Putrajaya tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk mengisytiharkan darurat, walaupun negara merekodkan lebih 800 kes berturut-turut dalam tempoh 5 hari sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.